Sedapnya Dalit



Salam rindu buat kawan-kawan. Cuti sekolah orang kata cuti panjang tapi ujung tahun kena juga siapkan kerja-kerja di pejabat sebelum mengurus anak-anak masuk sekolah semula. Sepanjang cuti sekolah, puas juga makan durian. kebetulan musim durian di Sabah tidak sekata mengikut daerah. Untungnya tempoh musim menjadi 3 bulan. memang puas makan durian.





Berkisah tentang durian ni, saya terpanggil untuk berkongsi cerita dalit atau ralit panggilan tempatan di Sabah bagi buah durian hutan. Selama ini saya tak pernah merasa keenakan dan kelunakan isinya kerana selama ini saya beranggapan dalit ini low class berbanding dengan durian biasa. Nak dijadikan cerita, terbeli pula 2 biji buah durian dalit. sebuah isinya berwarna merah, manakal sebuah lagi berwarna jingga. Yang peliknya baunya tidak seperti durian tetapi seperti strawberry. Isinya pekat dan lunak. Manis tak juga manis. Pokoknya terangkat kening bila menjamah dalit yang selama ini saya tak pandang pun sebelah mata.



Lepas percubaan pertama, saya akhirnya memborong 18 biji buah dalit jingga unjtuk dicuba oleh kawan dari Semenanjung. Kawan tu pun suka juga. Nak dijadikan cerita ketika kerja luar terjumpa pula dalit berwarna putih susu. Memang sedap tapi tak sesedap dalit berwarna merah.

Dalit ni sebenarnya digemari oleh orang-orang sebelah pantai barat Sabah. Orang0orang tua di kampung banyak menanam pokok ini. Kabarnya di Semenanjug buah ini tidak ditemui. Saya pun kurang pastinya. Kawan-kawan boleh lihat sendiri warna isi dalit yang membuka selera. Kata orang kalau tak cuba kita tak tau kopi itu pahit. Tapi pahit-pahit kopi di telan di minum juga. Betul tak.






Tanya sama hati pernahkah merindu..
ingat masa lena apa mimpu
masa berjauhnya apa nan dikenang
bila dikenangkan itulah sayang....................Aduh menusuk kalbu alunan suara lunak buluh perindu Tan Sri P Ramlee. Walau pun lagu demikian dinyanyikan pada tahun 1956 namun ia masih lagi menusuk kalbu sesiapa yang mendengarnya....itulah penangan lagu lama oleh orang lama. Semakin lama semakin berharga.

Sarat merindu dihati kerana sudah lama tidak membua catatan di blog ini dan pasti ramai kawan-kawan yang menantikan celoteh saya. Sepanjang bulan November, tugas luar daerah memenuhi jadual. Dalama pada itu sempat juga menangkap beberapa keping gambar untuk dimuatkan dalam laman ini. Malangnya, kamera pula buat masalah.... gambar yang ditangkap tak boleh dibuka dalam komputer. Aduh sakit hati juga dibuatnya kerana dalam apa juga catatan, kalau ada gambar yang memancing mata, para pembaca suka melihatnya. Macam juga ruang tamu yanb diisi dengan pelbagai perabot. Kalau kosong, hati pun jadi kosong juga.

Sebenarnya banyak yang nak diperkatakan tetapi masih lagi menyimpan hasrat itu selepas kamera diperbaiki. Kebetulan hari ni dapat surat pertukaran tempat bertugas. Nasib lah bagi tak tukar daerah cuma tukar tingkat saja dari tingkat 6 ke tingkat 8. Syukur Alhamdulillah. Apa yang penting kita kena melaksanakan tanggung jawab yang diberikan sebaik mungkin dengan penuh amanah dan dedikasi.

Kata orang, benih yang baik kalau jatuh ke laut menjadi pulau, kalau jatuh ke tanah menjadi gunung. Harap-harap kita macam benih yang baik itu juga. Tumbuh menjadi pokok yangb rendang menjadi tempat orang ramai berteduh dan berlindung. Amin.

Tak Pernah Bosan

Pejam celik pejam celik, bulan raya berlalu sudah. Musim naik haji bertandang lagi. Masa terus beredar, usia pun makin singkat. Moga jiwa kita kian dekat kepada-Nya.

Dalam sibuk menjalankan tugas rutin di ofic, lepas raya ni susun atur perabut dan kebersihannya dilupa jangan. Ramai kawan-kawan berhabis time raya je pas tu rumah dah jadi macam 'tikus beranak' lagi. Bukan setakat abuk, malah susun atur tak dipedulikan lagi apa tah lagi bagi meraka yang jarang menerima tamu atau kunjungan keluarga.

Sedih juga bila keadaan sedemikian. Tapi saya lagi sedih kerana sesekali dapat bersihkan rumah kerana masa balik kampung je la rumah baru berpenghuni. Rumah pun dah jadi rumah 'antik' kerana selain sarat dengan barang dan perabot antik, diantikkan lagi dengan kesunyian orang rumahnya.

Apa pun keadaannya, rumah kena kemas, kena selalu cantik dan bersih. Bila masuk rumah time balik, kalau rumah kemas dan bersih, hati pun jadi lapang. kalau hati kita jadi lapang, pasti kegembiraan menyelubungi kita dan keluarga kita.

ada juga kawan-kawan yang memakai kereta berjenama mahal, bila time pegi ke rumahnya, aduh mak...... kereta lagi mahal dan cantik dari rumahnya. Tapi itu hak dia la kita cuma boleh pandang dan jeling saje.

Bagi saya apa yang kita minat, kita kena teruskan. Nak kata bosan dengan barang dan perabot antik ni memang tak padam. Cuma kadang-kadang membazir juga, bila dah terbeli menyesal juga kerana tiada ruang nak simpan. Tu la masalahnya kalau dan minat. Susah juga kan!
Mangkok emas ni setahun lamanya saya mengidamkannya baru dapat memilikinya. Tu pun beli time jualan murah 60% kalau tak, tak boleh beli dek oi mahal juga harganya. Mangkok buatan Thai ni disaluti kertas emas yang berpelambum tinggi. Cantik dipandang tapi tak le guna untuk makanan kecuali simpan buah buahan je. Tak pernah guna pun, cuma untuk hiasan dan menjadi halua mata.
Cerek kecil perak ni beli kat Terengganu semasa bertugas sebulan kat sana. Jatuh cinta dengan kehalusan buatannya dan di beli di kedai yang paling meletup kat Kuala Terengganu. Tu pu nasib baik penjualnya mahu jual kerana pada awalnya cerek ni dah di boking seorang anggota polis yang minatnya sama ngan saya. Dah rezeki saya dapat harga cukup murah.

Walau pun raya da masuk hari ke 19, suasananya masih terasa gak terutamanya pada ujung minggu kerana ramai dah balik kerja. masa ujung minggu diabiskan melawat rumah sanak saudara dan rakan taulan yang belum sempat diziarah. Bagi yang tinggal jauh di kampung halaman dan rumah sendiri macam saya ni, pegi penugi jemputan rakan-rakan lah jawabnya.

Raya di kampung memang cukup seronok. Selain menyambut hari raya, masa ni juga kita tayang barang antik milik kita sebaik mungkin. Masa raya juga kita hias rumah secantik dan bersih mungkin. Ramai juga sanak saudara yang sempat berkunjung ke rumah saya tu pun bermula raya ke lima sampai raya ke tujuh je. Al maklumlah. Raya pertama rumah mertua, masuk raya ke dua sampai raya ke lima balik ke rumah emak di daerah Tawau.

Tiga hari beraya di rumah sendiri amat seronok sekali sampai lupa nak ambik sudut-sudut cantik rumah. Sibuk melayan tetamu yang dok puji yang tu cantik, yang tu beli kat mana, yang tu berapa harga.....pening juga tapi puas hati sebab bukan senang sanak saudara jauh dan dekat datang ke rumah kita kerana rumah kita pun jarang berpenghuni. Asyik sibuk memanjang dengan kerja.

Ni le satu-satunya gambar yang sempat ditangkap. Karangan bunga lavender dalam timba antik. Karangan bunga ni diletakkan di meja kopi utama kayu malam. Ramai yang bertanyakan bunga hidup atau plastik. Rasanya semua tau jawapannya kerana lavender bukan bunga di Malaysia kan.


Ada saudara mara dan rakan yang pertama kali berkunjung ke rumah orang yang gila perabot antik macam saya. Ada yang terkejut beruk juga! Tak pernah nampak barang-barang lama seumur hidup dan merasa hairan bagaimana saya memperolehinya. Ini lah yang dikatakan penangan antik.

Terasa puas juga bila ada yang memuji barang antik yang ada cantik-cantik belaka. Rasa berbaloi juga membelinya. Cuma ada yang tanya berapa puluh ringgit harga barang yang saya beli? Saya hanya senyum simpul. Mana ada barang antik harga puluhan ringgit? Kalau ada pun cuma ornamen kecil sahaja.
Bila balik ke Kota Kinabalu, rumah bujang saya pun kena serbu juga oleh kawan-kawan yang teringin nak rasa air tangan saya. Dalam malas nak jemput, ada juga 20 orang yang bertandang. Dah namanya hari raya kena le layan tetamu sebaik mungkin. Sempat juga masak pai ayam ( call orang rumah macam mana nak buah doh nya sebab jarang buat ), chicken roster, kerabu peria dan sambal sotong rendam. Pesta sakan tetamu yang datang kena air tangan orang bujang di perantauan ha ha ha.
Apa pun, setiap kali kita menyambut hari raya, sambutlah dengan penuh keinsafan kerana usia kita dipanjangkan setahun lagi. Meriah tetapi mengekalkan kesederhanaan seperti yang di tuntut dalam agama. Amin.


Dah tak sabar nak balik kampung. Flight pun dah tempah 3 minggu awal. Nasib baik masih ada kosong waktu tempah dulu. Lagu nyayian Sudirman 'Balik Kampung' dah mula berkumandang di corong radio dan supermarket. Aduh tak sabar rasa hati.

Dalam kegairahan nak balik raya, nak bersihkan rumah dan susun atur perabot, sempat juga kaki melangkah ke gedung beli belah. Akhirnya terbeli juga satu set pinggan bunga rose ala Vantage. Terfikir di hati betul kah aku dan berminat dengan pinggan ala corak English? Nampak gaya dah terpengaruh dengan Mrs Nor Hobi. Dah jadi minat atau terpengaruh! Entah lah. Tapi sebelum ni pun ada juga teh set saya dah beli sewaktu melancong ke Johor 3 tahun lepas.

Set pinggan ni dibeli pun kerana harganya murah dan berbaloi. RM129.00 je satu set. Da lah pada tu sempat juga mata menjeling ke himpunan kristal. Sakit mata melihatnya tapi tak jadi beli kerana dan ada mangkuk kristal bertutup di beli kat Langkawi dulu dan masih boleh digunakan untuk hidangan kueh raya nanti. Bukan apa kalau terlalu banyak yang digunakan, takut juga pecah kan tau -tau lah bila raya sanak saudara ramai yang berkunjung di rumah. Kalau bukan anak yang terpecahkan, pasti ibunya yang jeles (cemburu ). Gurau je.....

Dalam dia tak diam, 4 bulan lepas berkenalan dengan seorang rakan sewaktu menunggu flight ke Kuala Lumpur. Rupa-rupanya dulu kawan tu pernah kerja tukang masak buat kek. Apa lagi seumur hidup tak pernah buat kek sendiri akhirnya saya dah boleh buat American Cheeze cake. Tu yang hebatnya penangan resepi baru. Raya tahun ni nak kejutkan orang rumah dan anak-anak dengan cheeze cake.





Semalam masa pegi supermarket, terbeli pula tempat menyimpan lauk bertutup. Angkut 2 biji. Bukan apa, balik raya nanti nak bagi 'raya gift' kat ibu mertua. Coraknya pun bunga rose warna merah dan biru. Kebetulan ibu mertua minat sangat warna merah ( tak sempat nak ambik gambar). Yang hebatnya tiap kali belikan kain buat baju kurung, warna merah juga yang saya pilihkan . Sampaikan rantai dan gelang kristal pun warna merah juga. Hebatkan!


Yang ni pula bekas menyimpan garam dan gula. Simpan Kopi or teh pun boleh. Nak guna simpan gula-gula time raya pun boleh. Dibeli pun bukan kerana apa tapi harganya murah cuma RM7.90 satu. Suka juga kerana bunga rose nya memancing mata. He he he.... penangan Mrs Nor.

Sebenarnya ada lagi koleksi pinggan mangkuk tapi yang dalam gambar ni adalah himpunan sendiri. Semua koleksinya digunakan bukannya jadi pajangan atau pameran saja. Rugi rasanya beli mahal kalau setakat jadi tontonan.

Cerita pasal tontonan, teringat cerita kawan yang memiliki kedai menjual vantage. Kawan ni pernah berkunjung ke rumah pelanggan setianya. Rumahnya cantik dengan hiasan ala-English. Sarat dengan pinggan mangkuk ala English. Tapi yang lucunya, tuan rumah menghidangkan minuman kepada tetamunya menggunakan gelas plastik. Sendiri mau ingat ha ha ha.


Selamat Hari Raya
kepada saudara serta saudari
setahun hanya sekali
merayakan hari yang mulia ini.......

Saban tahun dendangan lagu-lagu hari raya bikin hati jadi rawan. Bagi yang bertugas dan tidak dapat beraya dengan keluarga, pasti hati sayu bila mendengarkan takbir di pagi raya. Dalam sibuk membuat persiapan bagi menyambut hari kemenangan bagi umat Islam ini, pastinya kita dah sibuk menggantikan langsir baru, permaidani baru dan pinggan mangkuk baru. Kata orang semuanya baru.

Dalam kemeriahan, kita hendaklah menyambut hari mulia ini dengan kesederhanaan. Bagi yang tidak mampu berbelanja lebih saya percaya kita bijak menyuai padankan ada yang kita ada agar rumah kita nampak bersih, berseri dan indah di hari lebaran. Walau pun tahun ini kain langsir tak berganti, permaidani masih lagi yang lama, saya lebih memberi tumpuan membersihkannya serta mengubah susun atur perabot. Jangan lupa 70 peratus perabot dan barang-barang yang saya ada semuanya antik. Kalau diganti yang baru, meratap hiba le saya di pagi raya.

Lebaran tahun ini saya hanya membeli bunga baru untuk meja utama di ruang tamu. Itu pun kerana saya dah jatuh cinta dengan bunga lavender ungu. Nak cari levender ungu kat Sabah bukan main susah tak macam di Semenanjung. Kalau ada pun harganya aduh mak boleh tahan juga. Habis juga seratus ringgit beli bunga kerana nak suaipadankan dengan timba kayu antik dari Cina.

Dalam bab menghias karangan bunga, jujurnya saya lebih suka tidak terlalu menyusun atur gubahan bunga seperti di kedai-kedai bunga. Malah saya lebih suka gubahan Inggeris kerana bunga nampak liar dan semulajadi biarpun bunga tiruan. Bunga juga amat penting dalam menyerikan ruang. Bagi saya tanpa bunga hidup tak bermakna kerana warna-warni bunga dapat menghilangkan stress dan tekanan selainkan melembutkan ruang yang sarat dengan perabot.

Bagi kawan-kawan yang mempunyai koleksi pinggan yang mahal, ini lah masanya untuk kita menggunakannya. Kalau hari biasa terpajang atau terpamer dalam almari, sempena lebaran mari kita gunakan untuk keluarga dan para tetamu. jadi tak rugi membelinya.
Malah kita akan merasa bangga bila ada orang yang memuji kecantikan pinggan yang kita ada.

Dalam menghias rumah, kita jangan alpa sehingga rumah kita jadi bilik pameran atau terlalu sarat dengan perabot dan barang-barang. Kita juga perlu ingat di hari lebaran ramai tetamu yang datang dan berkunjung, jadi kita pastikan agar ada ruang untuk tetamu yang datang beramai-ramai. Elakkan susun barang-barang berharga seperti mangkok atau lampu kristal di kawan yang mudah di sentuh. Jangan sampai kita berputih mata.

Minat Kayu Semua Kayu

Keindahan flora dan fauna bumi kita yang dianugerahkan tuhan bukan sahaja dapat ditatap malah sumber kayu-kayannya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Dengan sistem perhutanan yang terkawal, keindahan flora dan fauna yang kita miliki masih bisa ditatap dan dinikmati aromanya. Iklim khatulistiwa yang panas dan hujan sepanjan tahun mengkurniakan bumi kita pelbagai jenis atau spesis kayu yang tinggi nilainya. Siapa tidak kenal kehebatan dan ketahanan kayu cengal di Semenanjung. Ketahanan cengal membuatkan binaan dahulu kala dapat kita kecapi pada hari ini. Malah kayu jenis lain seperti merbau, kapur, seraya,balau, jati, kayu malam ( di Sabah dan Sarawak ) dan pelbagai jenis lagi dijadikan asas kepada pembuatan rumah dan perabot berkualiti tinggi.

Lahir di kawasan yang berbukit yang dikelilingi gunung-ganang, membuatkan naluri saya sukakan apa-apa sahaja yang diperbuat daripada kayu. Urat kayu membuat saya terpaku. Memandangnya memukau mata dan tumpuan. Malah warna asas kayu yang pelbagai juga amat menarik minat. Memang minat dengan kayu -kayan bumi tercinta ini.

Berangan tentang kehebatan kayu, satu hari nanti keindahan itu akan saya dapat nikmati juga. Saya secara peribadi suka dengan rumah kampung yang diperbuat dari kayu. Terasa sejuk dan sedap mata memandang. Sebab itulah sewaktu saya memiliki rumah batu, saya bertekad sebahagiannya akan saya pasang kayu bagi menyejukkan ruang dan memenuhi minat saya itu. Hasilnya, saya memiliki pelbagai jenis kayu yang dibuat perabot walaupun rumah saya sekangkang kera besarnya.

Jendela asal kayu balau
duduk bersandar dibangku jati,
meja kayu malam tetap memukau
kayu merbau di tangga jadi kekisi

Gerobok tv kayu durian
almari rendah rosewood dari pakistan,
meja teh mahogani jadi pilihan
betapa indahnya hasilan hutan

kayu bawang2 jadi intipan
sukar dicari jadi igauan,
rel keretapi lama kayu belian
lemari kayu gerongang jadi warisan

Pintu antik, dinding jati
tetap asli bukan tiruan,
seraya, kapur dan meranti
cengal dibawa dari perantauan

Begitulah bunyinya bait-bait gurindam lama yang dapat ditintakan betapa saya sangat sukakan perabot dan rumah daripada kayu. Memiliki perabot kayu sama ada antik atau pun baru cukup menjadi kepuasan kepada saya.

Dalam hal ini, ramai kawan-kawan yang saya lihat menghimpunkan perabot jati satu rumah dengan warna jati yang sama. Mereka cukup bangga malah kita pun tumpang bangga kerana kawan ita memilikinya. Cuma dalam pemilihan perabot, andaikata kita mempunyai 90% perabot dan rumah dari kayu, kita perlu bijak menyusun atur dan mewarnakannya. Kalau tidak rumah kita akan kelihatan tak berjiwa dan kaku. Apa pun yang kita miliki kita juga perlu tahu fungsi dan letak aturnya barulah rumah kita nampa berseri apa tah lagi kita bakal menyambut lebaran.

Sama ada kita suka perabot berukir atau potongan lurus, kreativiti amat penting. Bagaimanapun dalam segala hal kita tidak boleh berlebihan. Bersederhana sepertimana dalam tuntutan agama itulah yang lebih afdal dan baik. Apa pun saya seronok dibuai mimpi dengan katik kayu, menatap cermin dengan bingkai kayu malah menyimpan baju dalam almari ukir kayu.






Entah di mana silapnya, ramai di kalangan kita terlupa untuk menjadikan tinggalan atau warisan nenek yang satu ini. Barangan tembaga antik seperti celapak, gobek, kaki lampu dan tepak sirih dibiarkan tersimpan dalam almari lama atau dikotak dalam stor rumah. Ghairah pula mencari barangan luar negeri untuk dijadikan himpunan perhiasan yang sarat mengisi rumah kita. Konon-kononnya nak tunjukkan minat kita sama dengan minat orang lain sedangkan tepak sirih menjadi 'Dayang Senandong' terbiar begitu sahaja.

Saya bukan anti barangan luar negeri terutama dari barat tetapi sekurang-kurangnya kita hargai tinggalan lama warisan nenek moyang. Saya pun suka juga dengan pinggan mangkok dari barat kerana sememangnya banyak yang antik dan berkualiti tinggi. Tapi bagi saya cukup sebagai minat kepada barangan itu dan memiliki sedikit koleksi, selebihnya saya lebih suka mengumpul barang antik dari nusantara dan Asia yang sebati dengan kehidupan sekitar kita. Apa tah lagi saya dilahirkan sebagai budak kampung yang tidak banyak mewarisi tinggalan nenek moyang kerana datuk saya seorang perantau.

Seronok juga tengok rumah kawan-kawan yang mempunyai koleksi Inggeris yang sarat satu rumah, namun dengan bangganya mereka mengatakan sangat minat gaya kedesaan Inggeris tanpa menilai sesuaikan dengan budaya kita. Dalam majalah deko tempatan banyak yang mempamerkan gaya seumpama ini. Tapi tanpa kita sedari rumah kita lebih sarat dengan barangan pameran ala Inggeris berbanding rumah orang Inggeris sendiri. Kalau tak percaya cuba lihat rumah orang kita di majalah deko tempatan dan bandingkan dengan rumah ladang orang Inggeris dalam majalah luar negeri.

Saya sebenarnya pun minat dengan stail ala Inggeris atau barat. Saya suka melihat deko mereka kerana hampir semua mereka bangga dengan warisan nenek moyang mereka. Perabot dan alatan hiasan lama menjadi rebutan untuk diisi di ruang tamu mereka tetapi tidak pula macam sesetengah orang kita yang makan nasi guna tangan tapi pinggan mangkok dan hiasannya mengalahkan mat salleh.

Kita seronok pamerkan barangan ala gaya kedesaan Inggeris sehinggakan kita lupa yang kita ter'over' dalam menyusun aturnya. Walau bagai manapun ada juga orang kita yang air tangannya menjadi dalam menghias rumah ala kedesaan Inggeris. Syabas! Seronok melihat hasil sentuhan kreatif orang
kita yang mempunyai pelbagai cita rasa.

Jadi kalau kita masih simpan barangan tembaga antik dalam stor atau almari lama, sempena menyambut lebaran tahun ini, apa kata kita keluar dan bersihkan lantas dijadikan penyeri meja dan sudut. Pasti jiran tetangga dan sanak saudara yang berkunjung ke rumah kita pun akan mengikut langkah kita. Kalau bukan kita siapa lagi yang harus dan patut bangga dengan warisan dan budaya kita.
Barangan tembaga antik juga semakin lama semakin mahal harga dan nilainya. kalau dulu kita boleh dapat dengan harga yang murah, kini harganya berlipat kali ganda. Justeru itu bagi yang menggemarinya, jangan tertipu dengan barangan baru yang didakwa antik.

Mimpi Pun Barang Antik



Pelik tapi benar...... tu lah yang berlaku kat saya selalu. Orang lain barang kali mimpi indah atau mimpi makan makanan nyang sedap-sedap, tapi saya selalu mimpikan saya berada dalam kedai atau rumah yang dihimpunkan barang-barang antik. Walaupun orang kat mimpi itu mainan tidur tetapi mimpi juga berkait dengan gelora dan kehendak kehidupan kita sehari-hari.

Saya pun macam kawan-kawan ada barang antik yang kita hajati tetapi masih belum jumpa atau mampu dibeli. Kadang-kadang bukan kerana harganya mahal, tetapi di tempat saya benda tu tak dijual. Sebenarnya saya agak menyesal tidak membeli kukur antik dari Kelantan yang dijual di kaki Chow Kit. Ketika itu saya nak balik Sabah dan tergesa-gesa. Harganya cukup mutu dan murah dan kukurnya tembaga ori. Aduh cantik sangat tapi dah nasib bila datang lagi ke Kuala Lumpur, kukur tu da dikebas orang.

Ada juga kukur antik yang saya jumpa di Terengganu, tapi saya tak berkenan pula. Sebenarnya saya jatuh cinta dengan kukur antik ni selepas melawat istana lama Kelantan yang dijadikan muzium. Masa tu tak puas nak melawat, sebab singgah 1 malam sahaja. Apa pun beruntung juga kerana kawan bawa makan nasi kerabu dan nasi ayam kampung. Terangkat abis. Masa tu tak kenal lagi Kak Nor Hobi, kalau tak dapat shoping batik kat kedai Kak Nor Hobi.

Cerita pasal barang antik ni, ramai yang mengatakan barang antik ni berpuaka atau ada penunggunya. Barang kali ada benarnya dan atau tidak. Saya pernah membeli sebuah perahu kecil lama di Kuching, Sarawak 7 tahun lepas. Bila sampai dirumah, macam-macam saya mimpi dan bila terkejut saya teringatkan perahu tu. Lepas lima hari perahu tu saya serahkan kepada rakan yang tau 'menggunakan' nya. Apa pun semua ada hikmah disebaliknya atau sekadar mimpi itu mainan tidur.
Itulah sebabnya orang tua-tua selalu berpesan sebelum tidur kita kena basuh kaki terlebih dahulu dan baca bismilah..... baru lah kita tidak diburu mimpi yang pelik-pelik.






Sayang-sayang buah kepayang, dimakan pahit dibuang sayang....... pantun lama yang masih kedengaran bila kita enggan mengubah atau melepaskan barang kesayangan kita yang kita tak gunakan lagi.

Bagi penggemar barang antik, kita jangan jadi seumpama pantun kiasan di atas kerana tidak guna kalau kita berhabis duit dan kumpul sekapal barang antik kalau kita tidak tahu menilai keindahan dan nilainya. Bila dah banyak berlonggok, baru lah kita sibuk nak bersihkan atau nak jual kepada orang lain. Sebab itu lah pada pandangan saya, kalau kita bertujuan untul membuka kedai antik di masa akan datang bolehlah kita membeli dan terus membeli, melonggok dan terus melonggok barang antik kita.

Ramai juga blog kawan-kawan yang saya dah tengok. Aduh barang antiknya banyak sekali tapi saya dia tidak tahu bagai mana untuk memajang atau mempamerkan keindahan dan sejarah barang antik yang dimiliki. Sebab itu lah di awal pengkisahan saya dalam blog ini awal-awal lagi saya dah jelaskan pandangan saya. Kita harus bijak susun atur ruang dengan suai padan barang antik yang kita miliki. Kalau kurang arif, boleh minta bantuan kawan-kawan yang lebih mahir tentangnya. Kalau segan, beli buku dan majalah hiasan dalaman dan jadikan sebagai rujukan.

Saya percaya wang yang kita laburkan tidak sia-sia kerana kita mengecapi dan menikmati keindahan barang antik bukannya simpan penuh satu almari bertutup atau dalam stor yang dibiarkan bertahun-tahun.

Barang antik juga perlu dibelai barulah ia berjiwa. Maksud saya kita perlu menjaganya sebaik mungkin dan tahu di ruang atau sudut mana nak diletakkan. kadang-kadang saya sendiri bila datang masa malas, ada juga barang antik yang terlonggok. Itu lah masalahnya.


Satu lagi, orang kita suka hanya untuk menjadikan pameran kepada barang antik yang dimiliki bukan untuk digunakan. Berbeza dengan orang barat, mereka tahu nilai barang antik tinggi sebab itu lah mereka semaksima mungkin menggunakan fungsi barang tersebut sama ada kalau perabot digunakan manakala kalau ornamen sebagai pelengkap susun atur perabot.

Sebab itu lah kalau kita lihat ada rumah yang kelihatan anggun dan tersangatlah indah dengan sentuhan barang antik walau pun tak banyak berbanding rumah yang dilonggokkan sekapal barang antik.

Ada kawan di kampung yang mempunyai warisan barang tembaga yang begitu banyak dan disimpan dalam satu bilik khas. Untuk apa kita buat sedemikian. Kata rakan saya, beliau tidak tahu nilai dan tidak minat dengan barangan tembaga yang mempunyai nilai dan harha yang sangat tinggi lalu dibiarkan sahaja berlonggok begitu saja. Aduh sayang sekali.


Barangan tembaga kita perlu rajin mengilatnya dan bijak menyusun atur sebagai perhiasan tambahan. Kalau tidak warnanya akan kusam kehitaman macam Dayang Senandung pulak! Kita juga tau barangan tembaga juga jadi warisan keturunan khususnya masyarakat Melayu Brunei, Bajau dan Orang Kadazan-Dusun. Sayang kalau kita tidak menghargainya kerana ia adalah lambang sejarah dan budaya kita.

Bagi yang banyak mempunyai perabot antik dari kayu khususnya kayu jati, penjagaannya juga tidak susah. 3 Bulan sekali perabot kayu perlu dibersihkan dan dirawat. Mudah saja, gunakan kain yang direndam air dan kemudian perah. Lap perabot dan bersihkan abuknya. Lepas itu lap semula dengan lain kering dan biarkan seketika. Kemudian sapukan minyak kayu murni atau minyak kayu jati keseluruhan badan perabot. Selain untuk mengilatkan kayu, ia juga menghindari dari sebarang serangan serangga perosak. Malah bau minyak kayu akan membangkit rasa.

Kata orang, lain padang lain belalang. Kalau dan belalangnya pun lain pasti seleranya pun lain. Kita punya barang, jadi kita punya suka lah nak letak kat mana. Betul tak!
Apa pun kalau kita bijak pasti barang yang kita miliki akan makin tinggi nilai dan harganya. Malah bukan sahaja kita yang dapat menikmati keindahannya, malah orang lain juga demikian. Tidak salahkan untuk menmbuat orang lain rasa gembira sepertimana kita.



Barang kali kita masih ingat lagi semasa zaman kecil-kecil dulu, tempayan atau gentung diletakkan di tepi tangga. Tujuannya sebelum kita naik tangga kita perlu membasuh kaki terlebih dahulu. Tempayan tempat menadah dan menyimpan air pada ketika itu fungsinya amat penting sekali. Ada juga tempayan untuk menyimpan beras dan barang keperluan lain bergantung dengan rupa bentuk dan besar kecilnya tempayan.

Hari ini, kita kurang menggunakan tempayan sebaiknya temayan atau gentung dijadikan perhiasan atau ornamen untuk menghias sudut rumah. Sama ada dibiarkan kosong atau diisi dengan karangan bunga atau payung.

Pada waktu dulu tempayan atau gentung besar yang berukir naga dijadikan tempat tokeh menyimpan telur asin. Boleh dikatakan harganya cukup murah. Kini tempayan sedemikian aduh mahal jga harganya kerana selain susah dicari, ia tidak lagi dijadikan tempat meyimpan barang.

Saya juga memiliki beberapa buah tempayan atau gentung antik. Ada yang besar, ada yang kecil. Memiliki tempayan antik buka mudah kerana hari ini orang dah tak jual lagi benda-benda lama sebegitu. Saya beruntung kerana sebahagian tempayan tempat menyimpan air diberi percuma oleh kawan-kawan yang tahu minat saya atau yang kesian dengan pujukan saya.

Kalau kita memiliki tempayan besar, kita bole meletakkannya disudut ruang yang kosong sama ada dibiarkan kosong atau ditambah dengan hiasan lain. Jangan pula kita longgokkan temayan-tempayan kita satu tempat kerana selain boleh nyamuk bersembuyi, ia juga tak elok dipandang. Malah hari ini di bandar, tempayan besar dijadikan ornamen penghias taman atau sebagai titik tumpu dalam mengindahkan lagi kepelbagai struktur taman selain pergola dan batu-batuan.

Bagi tempayan kecil yang comel, sesuai dijadikan tempat menggubah bunga sama ada bunga hidup atau bunga plastik. Semuanya terpulang kepada kita kerana sama ada seseorang itu menggemari hiasan ala zen yang kurang perabot atau gaya nusantara kerana ornamen ini mampu mengindahkan lagi sesebuah ruang.

Kalau dulu biasanya tempayan atau gentung diperbuat sama ada diperbuat dari tanah liat atau seramik, berbeza pada hari ini tempayan dibuat dari akar kayu sama ada kayu lama atau kayu yang baru ditebang. Tempayan sebegini lebih bertujuan sebagai ornamen penghias ruang.

Untungnya pada hari ini kalau kita susah dapat tempayan antik, tempayan baru dan moden yang mempunyai rekabentuk dan corak yang lebih menarik amat banyak di pasaran. Rajin-rajinkan diri dihujung minggu menjenguk kedai atau tempat yang sesuai untuk melihat dan membuat pilihan. Saya pasti ramai yang meminati tempayan atau gentung sebagai salah satu ornamen penyeri ruang.


"Kalau pakai tudung, biar sedondon ngan baju. Baru nampak serinya. Kalau tak orang tak tau kau pakai tudung mahal ka tak!", kata seorang rakan perempuan dengan rakan perempuannya yang duduk sebelah meja. Saya tersenyum mendengar sembang pagi mereka. Biasalah orang perempuan, nak baju dan tudung yang sama warna. Itu belum lagi masuk bab pilihan kasut dan beg tangan. Semua nak sedondon.

Dalam susun atur perabot antik kalau semua perabot antik dilonggokkan satu tempat, itu bukan lagi dipanggil sedondon. Ramai juga rakan-rakan yang memuji susun atur perabot di rumah saya. kata mereka dari mana saya belajar? Saya jawab, ikut naluri dan banyakkan pembacaan majalah hiasan dalaman. Dalam menghias pun kita juga kena bayangkan hiasan kita melebihi dari hiasan orang lain. Maksud saya biar imigenasi kita tidak dibatasi oleh pengaruh orang lain secara total. Kita bebas menyusun ruang yang kita suka asal nampak cantik dan praktikal. Sebab kalau cantik pun tapi tak praktikal pun tak guna. Begitu juga kalau kita terlalu pentingkan fungsi sesuatu barang sahaja, idea menghias akan menjadi terhad macam ruang juga. Jadi dalam menyusun atur perabot dan menghias ruang, kita perlu adunkan keperluan mata, minda dan jasmani kita.

Kalau kita minat sangat dengan sofa atau bangku 3 tempat duduk antik, kita tidak perlu menyusun sofa kita dengan menggunakan material yang sama. Maksud saya kalau kita punya set sofa kayu elok ditambah sofa baldu atau sofa kulit sebagai perabot tambahan dalam ruang tamu. Tujuannya supaya ruang kita nampak hidup dan terkesan. Kalau semua kayu akan nampak rumah kita jadi layu dan kaku. Jadi penggunaan pabrik adalah amat penting bagi melembutkan warna kayu.

Sebenarnya ramai rakan yang pening kepala kerana tidak atau kurang bijak menggunakan konsep suai padan dalam menghias ruang. Mereka tidak berani mencuba. Ada pula yang takut diketawakan atau diperli oleh jiran atau sanak saudara yang bertandang.

Bagi ruang tamu yang sempit terutama yang tinggal di flat atau apartmen, konsep suai padan adalah pilihan yang paling tepat. Sofa fabrik 3 tempat duduk dijadikan perabot utama, 2 buah kerusi betawi antik ditambah sebagai pelengkap set ruang tamu dengan sebuah meja ottoman. Elakkan meletakkan perabot yang sarat. Sebuah gerobok antik boleh dijadikan tempat menyimpan TV bagi menggantikan almari rendah. Sekiranya berminat dengan permaidani, jangan sekali-kali menggunakan permaidani yang terlalu besar atau terlalu siput (kecil).

Bagi yang mempunyai ruang tamu yang luas atau lebih dari satu, bukan juga menjadi perkara muda untuk menghiasnya. Silap-silap rumah nampak bercelaru dengan pelbagai konsep. Oleh itu kalau kita tidak tahu atau kurang mahir menyusun atur perabot, kita boleh mendapat bantuan dari kawan-kawan yang tahu. kalau kita cukup peruntukan kewangan, upah saja juru hiasan dalaman kerana tidak guna kita mempunyai rumah besar tapi dalamnya macam 'tikus beranak' susun aturnya. Selamat mencuba.

Orang tua dulu-dulu selalu berpesan, kalau naik tau rumah yang mempunyai anak dara tengok halaman rumahnya. Kalau halaman rumahnya dipenuhi dengan rimbunan bunga-bungan, maka pasti ada satu atau ramai anak daranya. Tapi pada hari ini, pesanan itu tidak lagi diambil pusing oleh kita kerana kaum lelaki pun ramai yang menggemari tanaman bunga sama ada berpasu atau tumbuh meliar. Malay di sesetengah rumah khususnya di bandar besar, tumbuhan bunga dan tidak berbunga seperti pokok palma ditanam pasang siap atau dibiarkan seolah-oleh tumbuh semulajadi. Tujuannya semata-mata kerana bunga adalah penyeri ruang dan menjadi terapi minda bagi orang yang mamandang atau membelainya.

Dalam rumah pun, kalau tidak mempunyai bunga hidup sebagai hiasan, ramai yang mengubah bunga dalam pasu sebagai titik tumpu di sudut rumah atau di atas meja kopi. Begitu lah jugha halnya dengan lukisan. Rumah tanpa lukisan bagai kuah kari yang terlupa dibubuh serbuk perasa. dindingan rumah jangan dibiarkan kosong. Gantungkan satu atau dua lukisan sebagai titik tumpu dan mengindahkan lagi dinding. Kalau lukisan besar, elok letakkannya hanya satu sahaja sebagai titik tumpu manakala kalau lukisan atau gambar kecil, boleh diletak mengikut susunan atau kumpulan gambar.

Di dinding rumah, saya suka meletakkan lukisan bunga sebagai titik tumpu. Kebetulan saya boleh melukis, maka saya meletakkan beberapa lukisan bunga orkid di dinding ruang tamu. Istimewanya oleh kerana lukisan itu dilukis sendiri maka nilai lebih bermakna bagi saya kerana ia dibuat hanya satu dan saya sendiri yang menghasilkannya. Lukisan 'water color' ini ramai yang meminatinya dan bertanyakan di mana saya membelinya.

Saya juga meminati lukisan bunga rose. Ada lukisan yang saya beli dan ada yang kawan bagi dari London. Lukisan dari London ini dibuat pada tahun 1960an mengunakan teknik calitan. Menurut rakan yang memberikannya, lukisan ini berkualiti tinggi dan sentuhan pelukisnya cukup halus. Lukisan rose lain datangnya dari Iran dan negeri Cina. Sukar untuk mendapat lukisan bunga hasil pelukis tempatan kalau ada pun harganya tak tercapai dek tangan.

Bagi yang kurang mengemari lukisan sebagai titik tumpu didinding, anda boleh meletakkan sesuatu sperti fram gambar atau objek yang boleh menjadi perhatian. jangan biarkan dinding kosong sahaja kerana ia juga dapat melambangkan keperibadian anda. Tepuk dada, tanya selera.

Gila Antik Kerja Bodoh

"Da macam muzium la rumah u ni'', ajuk seorang kawan sewaktu bertandang ke rumah baru-baru ni. Saya hanya tersenyum tawar sebagai balasan. Tiba-tiba isterinya yang mendiamkan diri sejak sampai mula membuka mulutnya,''Bang...bang, cantik la pasu Cina tu bang. Mana kawan abang dapat?". Saya pura-pura tak mendengar soalan isterinya itu kerana pertanyaan itu diajukan keapda suaminya.

Seminggu lepas itu, kawan saya sms yang bertanyakan di mana ada jual pasu Cina atau Guci Antik Cina yang dilihatnya terpajang tempohari. Saya pun menjawab smsnya,'' takkan bini engkau pun dah gila antik! Kan hari tu engkau kata kumpul barang antik ni kerja gila".

Rupa-rupanya isteri kawan saya mula jatuh cinta dengan barang-barang dan perabot antik sejak melihatnya di rumah. Malah katanya isterinya dah lama melihat barang antik dalam majalah hiasan dalaman keluaran tempatan tetapi tidak menyangka begitu banyak barang antik yang berada di rumah saya.

Saya pun meminta kawan saya jangan melayan sangat kehendak isterinya kerana barang dan perabot antik sekarang terlalu mahal dan sukar untuk dicari. Kalau pun isterinya berminat, beli ala kadar dan yang termampu. Saya juga menasihatkannya, menjaga barang antik perlu dari jiwa barulah menyerlah nilainya. Jadi kalau membeli hanya ikut-ikut, setakat satu atau dua barang boleh lah dibeli. Lagi pun kalau dah ada barang yang dibeli kita akan terus membelinya kerana barang antiknya kuat pengaruhnya.

Orang rumah pun dah bising dengan saya kerana katanya rumahnya dah sesak. Sebab itu lah sejak 4 tahun lepas saya tidak lagi membeli perabot antik kecuali barang perhiasan atau ornamen. Itu pun kalau yang benar-benar menarik perhatian dan pelik rekabentuknya.

Apa pun saya bersyukur kerana sebahagian besar barang saya beli sebelum saya membeli rumah dan membesarkan rumah.

'Window shoping'di kedai-kedai antik adalah hobi saya sejak 10 tahun lepas. Tak beli pun tak apa asal puas pandang-pandang dan jeling-jeling barang antik yang dipajang atau pamer di dalam kedai. Tidak seperti di Semenanjung atau Sarawak, kedai antik di Sabah tak lah banyak mana. Kalau ada pun cuma kedai antik yang menjual segala barang tembikar khasnya tembikar Cina. Sedikit sangat yang menjual barangan tembaga dan jarang-jarang ada kedai yang menjual perabot antik asli atau ori.

Kalau terserempak atau terjumpa perabot antik yang dipajang, rasanya macam makan malam kat hotel 5 bintang. Seronok sangat walau pun setakat memandang. Ya lah kerana semua orang tahun barang antik termasuk perabot antik asli harganya boleh tahan mahal. Kata orang,älah membeli, menang memakai". Tapi kalau dah mahal tu telan air liur jak le dibuatnya.

Nak kata beruntung, saya memang beruntung kerana saya membeli perabot antik ketika orang di sini kurang faham dan mengerti nilai antik sesuatu barang. 7-10 tahun lepas tidak ramai yang kisah tentang perabot antik sepertimana pada hari ini. Ramai orang ketika itu membeli banyak perabot jati ketika kemelesetan ekonomi dunia yang menjatuhkan nilai rupiah yang akhirnya telah memurahkan nilai dan harga perabot jati. Perabot jati selepas itu tidak lagi menjadi bualan orang kaya sebaliknya sesiapa sahaja boleh mendapatinya apa tah lagi semasa jualan murah atau penghabisan stok. Ramai pula yang tergembira kerana menganggap perabot mereka yang kebanyakannya sarat berukir itu antik.

Pada waktu itu, satu dua perabot antik yang dijual biasanya dibeli oleh juruhias dalaman mahupun pelancong luar negeri yang melancong di sini. Masa tu lah, harga perabot antik cukup murah dan kalau kebetulan saya ada sedikit wang, saya terus membelinya.

Cuba lihat pengadang antik kayu jati yang ditambah cermin di depannya. Selepas saya membelinya dengan harga murah, ada pelancong ingin membelinya dengan harga yang mahal pula, iaitu harga asal sebelum potongan. Pengadang antik ini dan 8 tahun saya miliki.Menurut penjualnya ia berusia lebih kurang 100 tahun pada ketika saya membelinya. Bukan satu dua orang yang berkenan, malah ramai kawan-kawan dan keluarga yang menawarkan untuk membelinya. Tapi saya hanya tersenyum saja sebagai jawapan tawaran mereka. Malah ada kawan yang sanggup menyewa pengadang tersebut untuk dekorasi sebuah acara rasmi.

Saya juga memilik sofa antik kayu jati. Melalui keterangan mengenai sofa tersebut dalam sebuah majalah hiasan dalaman tempatan pada keluaran tahun 1997, sofa kayu itu didakwa berusia 100 tahun. Saya memperolehinya dari jualan pedagang Indonesia semasa ekspo perabot 2000 atau 2001 di Kota Kinabalu. Sofa kayu itu juga menjadi rebutan seorang pelancong Italy dan seorang pengila antik tempatan. Saya bernasib baik kerana sejam awal sampai ke ekspo berkenaan dan mendepositkan sedikit wang. Nasib baiklah jurujual yang dipanggil ibu ......dan lupa namanya, tidak menjualnya kepada orang lain yang sanggup meletakkan harga tinggi melebihi harga asal.

Memiliki perabot dan ornaman antik pun tidak guna kalau kita tidak menghargai nilai dan keantikannya. Macam mana kita nak menghargai nilai dan keantikannya. Tunggu di lain catatan.

Buai laju-laju, Sampai pokok sena;
Beli baju baru, dari kedai Cina.

Pantun yang sering nenek dendangkan sewaktu saya kecil dahulu. Waktu itu buaian atau ayunan spring dan kain jawa dibuat sebagai buaian untuk menidurkan anak kecil atau bayi.

Sejak dari dahulu lagi kita senonim dengan kedai tokeh yang empunya adalah orang Cina. Di kampung saya pada ketika itu hanya ada satu keluarga Cina yane membuka kedai runcit. Kedainya menjadi tumpuan apa tah lagi pada tahun 1960an perhubungan darat ke bandar Tawau atau dikenali sebagai Tanjung pada waktu itu belum ada. Jadi terpaksalah menggunakan perahu atau kapal kecil untuk sampai ke Pekan Tanjung yang memakan masa 4 jam untuk sampai.

Pada hari ini, saya mempunyai sedikit koleksi antik Cina. Koleksi ini lebih kepada seramik, pasu tanah liat dan hasilan bambu. Berbanding dengan masyarakat barat, seramik berkembang bersama tamadun Cina sejak beribu tahun lagi. Maharaja Cina cukup mengkagumi seramik . Malah seramik dan pasu menjadi kegunaan penting pada ketika itu dan sehinggalah hari ini. Ramai ahli sejarah menulis bahawa tamadun seramik atau tembikar datangnya dari Cina dan di bawa ke barat melalui jalan sutera melewati tanah Arab barulah sampai di Eropah.

Pinggan antik Cina bertulisan ayat Al-Quran adalah koleksi terbaharu saya. Sebenarnya sudah lama saya berkenan pinggan berayat ini tetapi tidak terbeli kerana harga pasarannya di kedai antik menjangkau RM3000. 5 tahun lepas sewaktu melancong di Kuncing, Sarawak saya dah berkenan. Pinggan berukur 20 inci ini berusia lebih kurang 80 hingga 100 tahun. Saya memperolehinya dengan harga yang cukup murah dari seorang penjual antik. Pinggan biru-putih ini bakal dipajangkan di dinding rumah sedikit masa lagi.
Sebahagian besar koleksi seramik saya berwarna biru-putih kerana warna berkenaan menyejukkan mata dan ruang apa tah lagi sebahagian besar perabot saya dihasilkan dari kayu. Warna kayu diimbangi dengan gabungan warna biru-putih.

Mangkok berkaki ming ini sangat halus dan teliti buatannya. Sampaikan penjual antik keliru sama ada mangkok ini asli dibuat di zaman pemerintahan Ming atau pun dibuat semula puluhan tahun lepas. Mangkok ini ada ditangan saya kerana saya sukakan warna, bentuk dan ukiran naga yang ada dalam mangkok ini. Kalau asli harganya sampai puluhan ribu. Tak asli pun tak apa kerana harganya pasti terus meningkat
di pasaran.

Selain koleksi seramik seperti pasu,guci, mangkok, teko dan pinggan antik, saya juga memiliki koleksi bakul seperti bakul sia yang digunakan baba nyonya Melaka, bakul kecil simpan makanan dan bakul kueh pau yang sangat indah dan halus buatannya.

Bakul pau besar berwarna merah ini hanya satu yang di bawa masuk oleh penjual antik. Saya sangat suka lukisan bunga bakul ini. buatannya bukan saja halus, malah cukup teliti dan cukup mengasyikkan bila kita merenung dan mengamati warna bakul ini. Warna merahnya bukan saja menaikkan seri ruang malah ia menjadi objek tumpuan. Bakul ini dipercayai digunakan orang dahulu untuk membawa kueh pau sebagai bekalan atau dihadiahkan kepada keluarga sebelah pihak sama ada perempuan atau pihak lelaki. Buluh atau bambu adalah bahan utama membuat bakul ini.

Dulu-dulu kita menggunakan timba untuk menimba
air dalam perigi . Ada yang diperbuat daripada besi atau tembaga yang sering disebut sebagai kaleng. Ada juga diperbuat daripada kayu atau pun buluh yang penting timba berkenaan dapat menampung beban air. Timba kayu antik juga diperolehi dari Cina. Timba ini digunakan untuk mengangkat air dari sungai. Jarang-jarang ditemui timba sebegini rupa sebab itulah saya memilikinya. Selain susah nak dibawa masuk dari negeri Cina, bilangan nya juga sedikit kerana ia benar-benar antik.

Sebenarnya banyak lagi koleksi dari Cina yang ada dalam simpanan. Apa pun memiliki sebahagian koleksi antik Cina sudah memberikan kepuasan kepada saya kerana antik Cina pelengkap hiasan rumah. Amati pantun ini;
Anak Cina jual sotong,
sotong dijual bergantung-gantung
tidak rugi tidak untung
barang dapat poket kosong......... ha ha ha

Tuai padi antara nampak
esok jangan layu-layuan;
intai kami antara nampak
esok jangan rindu-rinduan

Merdu sekali bait-bait pantun dan gurindam Melayu lama. Sampai sekarang iramanya mengasyikkan. Saya cukup kagum kemerduan suara Tan Sri S.M.Salim bila mendendangkan lagu Pantun Budi. Betapa hebatnya pengarang dahulu kala melayarkan mata pena mencatat suka duka pengalaman. Bak kata orang,'Tak kan Tuah hilang di dunia'.

Begitulah juga dengan koleksi antik yang menjadi rebutan orang. Ini adalah kunci tembaga antik yang digunakan oleh orang dahulu untuk mengunci gudang atau rumah. Kunci buatan Jerman ni masih kukuh dan boleh dipakai. Saya mendapatkan kunci ini dari Kedah. Umurnya lebih kurang 60 tahun. Warnanya yang kusam begitu cantik melambangkan kehebatan kunci ini. Tak rugi memilikinya. Koleksi ini baru diperolehi dan akan digunakan sebagai kunci pintu utama. Hebat bukan!




Masih cantik dan bersinar warna tembaganya. Mangkuk bertutup tembaga ini dibeli di Tamu Minggu Jalan Gaya. Saya tak tahu dari mana asal usulnya kerana penjualnya memperolehinya dari orang kampung yang menjual koleksi ini padanya. Usia mangkuk bertutup ini melebihi 100 tahun dan masih lagi boleh digunakan.

Ini pula cangkir perak berusia lebih 150 tahun dizahirkan semasa zaman Victoria di England. Masyarakat England menggunakannya untuk mengisi minuman panas sperti kopi dan teh. Kawan bagi percuma kerana katanya tak sesuai disimpan di rumahnya. Sekarang cangkir perak antik ni tak boleh digunakkan lagi jadi saya pajangkan saja kat almari antik Cina.



Pagi tadi saya membeli sebungkus nasi lemak berharga RM1.50 sen. Rasanya sedap sekali dengan sambal bilis yang ditumis kering. Aromanya membuka selera kerana nasinya masih lagi panas. Menyesal rasanya membeli sebungkus rasa tak puas makan.

Begitulah juga bila kita berkunjung ke rumah kawan dan mendapati rumahnya sangat teratur dan kemas ditambah lagi dengan aksesorinya yang cantik dan menarik menghias ruang. Ada juga rumah teman yang dikunjungi terlalu sarat dengan barang-barang perhiasan kecil mahu pun besar dek kerana teman tadi suka membeli. Lain pula halnya ruang tamu yan dibiarkan kosong dan hanya diisi dengan perabot asas seperti set kerusi ruang tamu sahaja.

Sebenarnya keperluan menghias apa juga ruang adalah amat penting bukan setakat perabot asas sahaja. Biar sekecil manapun dan berapa harganya, kita perlu tau di mana letak aturnya. Bagi pengemar aksesori antik yang suka mengumpul benda-benda pelik, memajang atau mempamerkan sahaja tidak cukup tetapi perlu bijak menyusun aturnya. Rugi dan sayang duit kalau kita membelinya dengan harga mahal tetapi hanya dilonggokkan disudut saja dan akhirnya mengumpul segala debu dan sawang.

Jadi kita perlu bijak meletakkan perhiasan kecil supaya dapat mengumpan mata kita atau orang bila memandang perhiasan tersebut. Malah kita boleh menukar perhiasan tersebut selepas 3 bulan sekali sekiranya kita mempunyai banyak koleksi antik untuk menghilangkan kebosanan.

Pemilihan perhiasan atau ornamen perlu betul dengan fungsinya. Perhiasan dalam rumah biar sesuai dengan perabot dan warna cat atau langsir yang ada. Di pasaran sekarang, pelbagai koleksi hiasan rumah boleh dipilih dan dibeli. Namun demikian seperti yang saya katakan awal tadi, biarlah ia sesedap nasik lemak panas!

Blogger Template by Blogcrowds