Keindahan flora dan fauna bumi kita yang dianugerahkan tuhan bukan sahaja dapat ditatap malah sumber kayu-kayannya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Dengan sistem perhutanan yang terkawal, keindahan flora dan fauna yang kita miliki masih bisa ditatap dan dinikmati aromanya. Iklim khatulistiwa yang panas dan hujan sepanjan tahun mengkurniakan bumi kita pelbagai jenis atau spesis kayu yang tinggi nilainya. Siapa tidak kenal kehebatan dan ketahanan kayu cengal di Semenanjung. Ketahanan cengal membuatkan binaan dahulu kala dapat kita kecapi pada hari ini. Malah kayu jenis lain seperti merbau, kapur, seraya,balau, jati, kayu malam ( di Sabah dan Sarawak ) dan pelbagai jenis lagi dijadikan asas kepada pembuatan rumah dan perabot berkualiti tinggi.
Lahir di kawasan yang berbukit yang dikelilingi gunung-ganang, membuatkan naluri saya sukakan apa-apa sahaja yang diperbuat daripada kayu. Urat kayu membuat saya terpaku. Memandangnya memukau mata dan tumpuan. Malah warna asas kayu yang pelbagai juga amat menarik minat. Memang minat dengan kayu -kayan bumi tercinta ini.
Berangan tentang kehebatan kayu, satu hari nanti keindahan itu akan saya dapat nikmati juga. Saya secara peribadi suka dengan rumah kampung yang diperbuat dari kayu. Terasa sejuk dan sedap mata memandang. Sebab itulah sewaktu saya memiliki rumah batu, saya bertekad sebahagiannya akan saya pasang kayu bagi menyejukkan ruang dan memenuhi minat saya itu. Hasilnya, saya memiliki pelbagai jenis kayu yang dibuat perabot walaupun rumah saya sekangkang kera besarnya.
Jendela asal kayu balau
duduk bersandar dibangku jati,
meja kayu malam tetap memukau
kayu merbau di tangga jadi kekisi
Gerobok tv kayu durian
almari rendah rosewood dari pakistan,
meja teh mahogani jadi pilihan
betapa indahnya hasilan hutan
kayu bawang2 jadi intipan
sukar dicari jadi igauan,
rel keretapi lama kayu belian
lemari kayu gerongang jadi warisan
Pintu antik, dinding jati
tetap asli bukan tiruan,
seraya, kapur dan meranti
cengal dibawa dari perantauan
Begitulah bunyinya bait-bait gurindam lama yang dapat ditintakan betapa saya sangat sukakan perabot dan rumah daripada kayu. Memiliki perabot kayu sama ada antik atau pun baru cukup menjadi kepuasan kepada saya.
Dalam hal ini, ramai kawan-kawan yang saya lihat menghimpunkan perabot jati satu rumah dengan warna jati yang sama. Mereka cukup bangga malah kita pun tumpang bangga kerana kawan ita memilikinya. Cuma dalam pemilihan perabot, andaikata kita mempunyai 90% perabot dan rumah dari kayu, kita perlu bijak menyusun atur dan mewarnakannya. Kalau tidak rumah kita akan kelihatan tak berjiwa dan kaku. Apa pun yang kita miliki kita juga perlu tahu fungsi dan letak aturnya barulah rumah kita nampa berseri apa tah lagi kita bakal menyambut lebaran.
Sama ada kita suka perabot berukir atau potongan lurus, kreativiti amat penting. Bagaimanapun dalam segala hal kita tidak boleh berlebihan. Bersederhana sepertimana dalam tuntutan agama itulah yang lebih afdal dan baik. Apa pun saya seronok dibuai mimpi dengan katik kayu, menatap cermin dengan bingkai kayu malah menyimpan baju dalam almari ukir kayu.