Cantik Menarik Menghias Ruang



Pagi tadi saya membeli sebungkus nasi lemak berharga RM1.50 sen. Rasanya sedap sekali dengan sambal bilis yang ditumis kering. Aromanya membuka selera kerana nasinya masih lagi panas. Menyesal rasanya membeli sebungkus rasa tak puas makan.

Begitulah juga bila kita berkunjung ke rumah kawan dan mendapati rumahnya sangat teratur dan kemas ditambah lagi dengan aksesorinya yang cantik dan menarik menghias ruang. Ada juga rumah teman yang dikunjungi terlalu sarat dengan barang-barang perhiasan kecil mahu pun besar dek kerana teman tadi suka membeli. Lain pula halnya ruang tamu yan dibiarkan kosong dan hanya diisi dengan perabot asas seperti set kerusi ruang tamu sahaja.

Sebenarnya keperluan menghias apa juga ruang adalah amat penting bukan setakat perabot asas sahaja. Biar sekecil manapun dan berapa harganya, kita perlu tau di mana letak aturnya. Bagi pengemar aksesori antik yang suka mengumpul benda-benda pelik, memajang atau mempamerkan sahaja tidak cukup tetapi perlu bijak menyusun aturnya. Rugi dan sayang duit kalau kita membelinya dengan harga mahal tetapi hanya dilonggokkan disudut saja dan akhirnya mengumpul segala debu dan sawang.

Jadi kita perlu bijak meletakkan perhiasan kecil supaya dapat mengumpan mata kita atau orang bila memandang perhiasan tersebut. Malah kita boleh menukar perhiasan tersebut selepas 3 bulan sekali sekiranya kita mempunyai banyak koleksi antik untuk menghilangkan kebosanan.

Pemilihan perhiasan atau ornamen perlu betul dengan fungsinya. Perhiasan dalam rumah biar sesuai dengan perabot dan warna cat atau langsir yang ada. Di pasaran sekarang, pelbagai koleksi hiasan rumah boleh dipilih dan dibeli. Namun demikian seperti yang saya katakan awal tadi, biarlah ia sesedap nasik lemak panas!

0 Comments:

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds