Baru-baru ni saya berjumpa dengan kawan yang beria-ria bercerita dengan saya yang dia telah membelikan isterinya satu set kerusi antik. Lalu saya bertanyakan kepada nya berapa usia set kerusi yang dibelinya? Kawan saya terpinga-pinga dengan soalan spontan saya kerana barangkali di kurang faham atau tidak tahu dengan istilah antik atau barang baru yang sengaja dipanggil sebagai barang antik.
Sebenarnya ramai orang seperti kawan saya. Antik mengikut istilah Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sesuatu yang dihasilkan pada zaman lampau, tetapi dikumpul dan dinilai kerana mutu kerja dan usianya. Denga kata lain barang antik mempunyai nilai estika, nilai sejarah dan bahan peninggalan yang amat berharga.Barang yang melebihi 100 tahun barulah boleh dikategorikan sebagai antik. Orang barat meletakkan umur 100 tahun sesuatu barang itu baru boleh dpanggil antik dan kurang dari itu hanya sebagai barang lama.
Sesetengah pengumpul antik dan pakar antik tempatan berpendapat di Malaysia, barang dihasilkan sebelum merdeka atau 50 tahun ke atas bolehlah dilabelkan sebagai antik kerana negara kita adalah negara baru berbading orang Arab atau Eropah hatta orang Cina yang mempunyai tamaddun beribu tahun lamanya. Barangan antik di Malaysia terhasil daripada kerajaan Melaka dan ketika zaman penjajahan bangsa eropah termasuklah Portugis,Belanda dan Inggris. Selain itu diperolehi oleh sebab faktor perdagangan dengan negara-negara lain seperti Cina dan India. Manakala barang lama masyarakat Melayu terdiri dari barangan tembaga dan kayu yang menjadi kegunaan sehari-hari masyarakat terdahulu.
Barang antik dijeniskan mengikut bahan yang digunakan seperti perabot kayu, seramik, logam dan batu-batan. Di Malaysia berbanding Indonesia, agak sukar untuk mendapat barang antik dan hanya beberapa negeri seperti Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak yang agak mudah untuk mencarinya.
Hari ini, oleh kerana ramai yang gilakan perabot antik maka wujudlah perabot antik-antik atau pura-pura antik yang banyak dipasaran. Sebenarnya amat sukar untuk mengenali barang antik jika anda jarang melihatnya kerana barang pura-pura antik rupanya hampir menyamai yang betul-betul antik. Ciri-ciri barang antik asli biasanya terdapat sedikit kerosakan kerana dimamah usia. Contohnya kalau perabot kayu, sebahagian kayunya sudah terkikis atau rosak. Begitulah juga kalau barang logam seperti tembaga mesti tahi logam tertara atau berkarat.
Itulah serba sedikit yang saya tau sebagai panduan untuk mengenali barang antik asli atau ori. Orang kata 'hanya jauhari yang mengenal manikam'.
Kisah kawan saya tadi terjawab kerana set kerusi jati yang dibeinya adalah set kerusi jati yang diukir dan digelapkan warnanya seolah-olah antik. Satu lagi, biasanya set kerusi lengkap jarang djumpai sekiranya set itu betul-betul antik.