Antik Cina Pelengkap Gaya Hiasan

Buai laju-laju, Sampai pokok sena;
Beli baju baru, dari kedai Cina.

Pantun yang sering nenek dendangkan sewaktu saya kecil dahulu. Waktu itu buaian atau ayunan spring dan kain jawa dibuat sebagai buaian untuk menidurkan anak kecil atau bayi.

Sejak dari dahulu lagi kita senonim dengan kedai tokeh yang empunya adalah orang Cina. Di kampung saya pada ketika itu hanya ada satu keluarga Cina yane membuka kedai runcit. Kedainya menjadi tumpuan apa tah lagi pada tahun 1960an perhubungan darat ke bandar Tawau atau dikenali sebagai Tanjung pada waktu itu belum ada. Jadi terpaksalah menggunakan perahu atau kapal kecil untuk sampai ke Pekan Tanjung yang memakan masa 4 jam untuk sampai.

Pada hari ini, saya mempunyai sedikit koleksi antik Cina. Koleksi ini lebih kepada seramik, pasu tanah liat dan hasilan bambu. Berbanding dengan masyarakat barat, seramik berkembang bersama tamadun Cina sejak beribu tahun lagi. Maharaja Cina cukup mengkagumi seramik . Malah seramik dan pasu menjadi kegunaan penting pada ketika itu dan sehinggalah hari ini. Ramai ahli sejarah menulis bahawa tamadun seramik atau tembikar datangnya dari Cina dan di bawa ke barat melalui jalan sutera melewati tanah Arab barulah sampai di Eropah.

Pinggan antik Cina bertulisan ayat Al-Quran adalah koleksi terbaharu saya. Sebenarnya sudah lama saya berkenan pinggan berayat ini tetapi tidak terbeli kerana harga pasarannya di kedai antik menjangkau RM3000. 5 tahun lepas sewaktu melancong di Kuncing, Sarawak saya dah berkenan. Pinggan berukur 20 inci ini berusia lebih kurang 80 hingga 100 tahun. Saya memperolehinya dengan harga yang cukup murah dari seorang penjual antik. Pinggan biru-putih ini bakal dipajangkan di dinding rumah sedikit masa lagi.
Sebahagian besar koleksi seramik saya berwarna biru-putih kerana warna berkenaan menyejukkan mata dan ruang apa tah lagi sebahagian besar perabot saya dihasilkan dari kayu. Warna kayu diimbangi dengan gabungan warna biru-putih.

Mangkok berkaki ming ini sangat halus dan teliti buatannya. Sampaikan penjual antik keliru sama ada mangkok ini asli dibuat di zaman pemerintahan Ming atau pun dibuat semula puluhan tahun lepas. Mangkok ini ada ditangan saya kerana saya sukakan warna, bentuk dan ukiran naga yang ada dalam mangkok ini. Kalau asli harganya sampai puluhan ribu. Tak asli pun tak apa kerana harganya pasti terus meningkat
di pasaran.

Selain koleksi seramik seperti pasu,guci, mangkok, teko dan pinggan antik, saya juga memiliki koleksi bakul seperti bakul sia yang digunakan baba nyonya Melaka, bakul kecil simpan makanan dan bakul kueh pau yang sangat indah dan halus buatannya.

Bakul pau besar berwarna merah ini hanya satu yang di bawa masuk oleh penjual antik. Saya sangat suka lukisan bunga bakul ini. buatannya bukan saja halus, malah cukup teliti dan cukup mengasyikkan bila kita merenung dan mengamati warna bakul ini. Warna merahnya bukan saja menaikkan seri ruang malah ia menjadi objek tumpuan. Bakul ini dipercayai digunakan orang dahulu untuk membawa kueh pau sebagai bekalan atau dihadiahkan kepada keluarga sebelah pihak sama ada perempuan atau pihak lelaki. Buluh atau bambu adalah bahan utama membuat bakul ini.

Dulu-dulu kita menggunakan timba untuk menimba
air dalam perigi . Ada yang diperbuat daripada besi atau tembaga yang sering disebut sebagai kaleng. Ada juga diperbuat daripada kayu atau pun buluh yang penting timba berkenaan dapat menampung beban air. Timba kayu antik juga diperolehi dari Cina. Timba ini digunakan untuk mengangkat air dari sungai. Jarang-jarang ditemui timba sebegini rupa sebab itulah saya memilikinya. Selain susah nak dibawa masuk dari negeri Cina, bilangan nya juga sedikit kerana ia benar-benar antik.

Sebenarnya banyak lagi koleksi dari Cina yang ada dalam simpanan. Apa pun memiliki sebahagian koleksi antik Cina sudah memberikan kepuasan kepada saya kerana antik Cina pelengkap hiasan rumah. Amati pantun ini;
Anak Cina jual sotong,
sotong dijual bergantung-gantung
tidak rugi tidak untung
barang dapat poket kosong......... ha ha ha

1 Comment:

  1. Anonymous said...
    Salaam Alykoum if you have acloe tions of antique Chinese ceramics send me photos I will buy from you my telephone number is 00905342451303 then if I like I will buy

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds