Dalam rumah pun, kalau tidak mempunyai bunga hidup sebagai hiasan, ramai yang mengubah bunga dalam pasu sebagai titik tumpu di sudut rumah atau di atas meja kopi. Begitu lah jugha halnya dengan lukisan. Rumah tanpa lukisan bagai kuah kari yang terlupa dibubuh serbuk perasa. dindingan rumah jangan dibiarkan kosong. Gantungkan sat
Di dinding rumah, saya suka meletakkan lukisan bunga sebagai titik tumpu. Kebetulan saya boleh melukis, maka saya meletakkan beberapa lukisan bunga orkid di dinding ruang tamu. Istimewanya oleh kerana lukisan itu dilukis sendiri maka nilai lebih bermakna bagi saya kerana ia dibuat hanya satu dan saya sendiri yang menghasilkannya. Lukisan 'water color' ini ramai yang meminatinya dan bertanyakan di mana saya membelinya.
Saya juga meminati lukisan bunga rose. Ada lukisan yang saya beli dan ada yang kawan bagi dari London. Lukisan dari London ini dibuat pada tahun 1960an mengunakan teknik calitan. Menurut rakan yang memberikannya, lukisan ini berkualiti tinggi dan sentuhan pelukisnya cukup halus. Lukisan rose lain datangnya dari Iran dan negeri Cina. Sukar untuk mendapat lukisan bunga hasil pelukis tempatan kalau ada pun harganya tak tercapai dek tangan.
Bagi yang kurang mengemari lukisan sebagai titik tumpu didinding, anda boleh meletakkan sesuatu sperti fram gambar atau objek yang boleh menjadi perhatian. jangan biarkan dinding kosong sahaja kerana ia juga dapat melambangkan keperibadian anda. Tepuk dada, tanya selera.
Seminggu lepas itu, kawan saya sms yang bertanyakan di mana ada jual pasu Cina atau Guci Antik Cina yang dilihatnya terpajang tempohari. Saya pun menjawab smsnya,'' takkan bini engkau pun dah gila antik! Kan hari tu engkau kata kumpul barang antik ni kerja gila".
Rupa-rupanya isteri kawan saya mula jatuh cinta dengan barang-barang dan perabot antik sejak melihatnya di rumah. Malah katanya isterinya dah lama melihat barang antik dalam majalah hiasan dalaman keluaran tempatan tetapi tidak menyangka begitu banyak barang antik yang berada di rumah saya.
Saya pun meminta kawan saya jangan melayan sangat kehendak isterinya kerana barang dan perabot antik sekarang terlalu mahal dan sukar untuk dicari. Kalau pun isterinya berminat, beli ala kadar dan yang termampu. Saya juga menasihatkannya, menjaga barang antik perlu dari jiwa barulah menyerlah nilainya. Jadi kalau membeli hanya ikut-ikut, setakat satu atau dua barang boleh lah dibeli. Lagi pun kalau dah ada barang yang dibeli kita akan terus membelinya kerana barang antiknya kuat pengaruhnya.
Orang rumah pun dah bising dengan saya kerana katanya rumahnya dah sesak. Sebab itu lah sejak 4 tahun lepas saya tidak lagi membeli perabot antik kecuali barang perhiasan atau ornamen. Itu pun kalau yang benar-benar menarik perhatian dan pelik rekabentuknya.
Apa pun saya bersyukur kerana sebahagian besar barang saya beli sebelum saya membeli rumah dan membesarkan rumah.
Kalau terserempak atau terjumpa perabot antik yang dipajang, rasanya macam makan malam kat hotel 5 bintang. Seronok sangat walau pun setakat memandang. Ya lah kerana semua orang tahun barang antik termasuk perabot antik asli harganya boleh tahan mahal. Kata orang,älah membeli, menang memakai". Tapi kalau dah mahal tu telan air liur jak le dibuatnya.
Nak kata beruntung, saya memang beruntung kerana saya membeli perabot antik ketika orang di sini kurang faham dan mengerti nilai antik sesuatu barang. 7-10 tahun lepas tidak ramai yang kisah tentang perabot antik sepertimana pada hari ini. Ramai orang ketika itu membeli banyak perabot jati ketika kemelesetan ekonomi dunia yang menjatuhkan nilai rupiah yang akhirnya telah memurahkan nilai dan harga perabot jati. Perabot jati selepas itu tidak lagi menjadi bualan orang kaya sebaliknya sesiapa sahaja boleh mendapatinya apa tah lagi semasa jualan murah atau penghabisan stok. Ramai pula yang tergembira kerana menganggap perabot mereka yang kebanyakannya sarat berukir itu antik.
Pada waktu itu, satu dua perabot antik yang dijual biasanya dibeli oleh juruhias dalaman mahupun pelancong luar negeri yang melancong di sini. Masa tu lah, harga perabot antik cukup murah dan kalau kebetulan saya ada sedikit wang, saya terus membelinya.

Cuba lihat pengadang antik kayu jati yang ditambah cermin di depannya. Selepas saya membelinya dengan harga murah, ada pelancong ingin membelinya dengan harga yang mahal pula, iaitu harga asal sebelum potongan. Pengadang antik ini dan 8 tahun saya miliki.Menurut penjualnya ia berusia lebih kurang 100 tahun pada ketika saya membelinya. Bukan satu dua orang yang berkenan, malah ramai kawan-kawan dan keluarga yang menawarkan untuk membelinya. Tapi saya hanya tersenyum saja sebagai jawapan tawaran mereka. Malah ada kawan yang sanggup menyewa pengadang tersebut untuk dekorasi sebuah acara rasmi.
Saya juga memilik sofa antik kayu jati. Melalui keterangan mengenai sofa tersebut dalam sebuah majalah hiasan dalaman tempatan pada keluaran tahun 1997, sofa kayu itu didakwa berusia 100 tahun. Saya memperolehinya dari jualan pedagang Indonesia semasa ekspo perabot 2000 atau 2001 di Kota Kinabalu. Sofa kayu itu juga menjadi rebutan seorang pelancong Italy dan seorang pengila antik tempatan. Saya bernasib baik kerana sejam awal sampai ke ekspo berkenaan dan mendepositkan sedikit wang. Nasib baiklah jurujual yang dipanggil ibu ......dan lupa namanya, tidak menjualnya kepada orang lain yang sanggup meletakkan harga tinggi melebihi harga asal.
Memiliki perabot dan ornaman antik pun tidak guna kalau kita tidak menghargai nilai dan keantikannya. Macam mana kita nak menghargai nilai dan keantikannya. Tunggu di lain catatan.
Buai laju-laju, Sampai pokok sena;
Beli baju baru, dari kedai Cina.
Pantun yang sering nenek dendangkan sewaktu saya kecil dahulu. Waktu itu buaian atau ayunan spring dan kain jawa dibuat sebagai buaian untuk menidurkan anak kecil atau bayi.
Sejak dari dahulu lagi kita senonim dengan kedai tokeh yang empunya adalah orang Cina. Di kampung saya pada ketika itu hanya ada satu keluarga Cina yane membuka kedai runcit. Kedainya menjadi tumpuan apa tah lagi pada tahun 1960an perhubungan darat ke bandar Tawau atau dikenali sebagai Tanjung pada waktu itu belum ada. Jadi terpaksalah menggunakan perahu atau kapal kecil untuk sampai ke Pekan Tanjung yang memakan masa 4 jam untuk sampai.
Pada hari ini, saya mempunyai sedikit koleksi antik Cina. Koleksi ini lebih kepada seramik, pasu tanah liat dan hasilan bambu. Berbanding dengan masyarakat barat, seramik berkembang bersama tamadun Cina sejak beribu tahun lagi. Maharaja Cina cukup mengkagumi seramik . Malah seramik dan pasu menjadi kegunaan penting pada ketika itu dan sehinggalah hari ini. Ramai ahli sejarah menulis bahawa tamadun seramik atau tembikar datangnya dari Cina dan di bawa ke barat melalui jalan sutera melewati tanah Arab barulah sampai di Eropah.
Pinggan antik Cina bertulisan ayat Al-Quran adalah koleksi terbaharu saya. Sebenarnya sudah lama saya berkenan pinggan berayat ini tetapi tidak terbeli kerana harga pasarannya di kedai antik menjangkau RM3000. 5 tahun lepas sewaktu melancong di Kuncing, Sarawak saya dah berkenan. Pinggan berukur 20 inci ini berusia lebih kurang 80 hingga 100 tahun. Saya memperolehinya dengan harga yang cukup murah dari seorang penjual antik. Pinggan biru-putih ini bakal dipajangkan di dinding rumah sedikit masa lagi.
Sebahagian besar koleksi seramik saya berwarna biru-putih kerana warna berkenaan menyejukkan mata dan ruang apa tah lagi sebahagian besar perabot saya dihasilkan dari kayu. Warna kayu diimbangi dengan gabungan warna biru-putih.
Mangkok berkaki ming ini sangat halus dan teliti buatannya. Sampaikan penjual antik keliru sama ada mangkok ini asli dibuat di zaman pemerintahan Ming atau pun dibuat semula puluhan tahun lepas. Mangkok ini ada ditangan saya kerana saya sukakan warna, bentuk dan ukiran naga yang ada dalam mangkok ini. Kalau asli harganya sampai puluhan ribu. Tak asli pun tak apa kerana harganya pasti terus meningkat
di pasaran.
Selain koleksi seramik seperti pasu,guci, mangkok, teko dan pinggan antik, saya juga memiliki koleksi bakul seperti bakul sia yang digunakan baba nyonya Melaka, bakul kecil simpan makanan dan bakul kueh pau yang sangat indah dan halus buatannya.Bakul pau besar berwarna merah ini hanya satu yang di bawa masuk oleh penjual antik. Saya sangat suka lukisan bunga bakul ini. buatannya bukan saja halus, malah cukup teliti dan cukup mengasyikkan bila kita merenung dan mengamati warna bakul ini. Warna merahnya bukan saja menaikkan seri ruang malah ia menjadi objek tumpuan. Bakul ini dipercayai digunakan orang dahulu untuk membawa kueh pau sebagai bekalan atau dihadiahkan kepada keluarga sebelah pihak sama ada perempuan atau pihak lelaki. Buluh atau bambu adalah bahan utama membuat bakul ini.
Dulu-dulu kita menggunakan timba untuk menimba
air dalam perigi . Ada yang diperbuat daripada besi atau tembaga yang sering disebut sebagai kaleng. Ada juga diperbuat daripada kayu atau pun buluh yang penting timba berkenaan dapat menampung beban air. Timba kayu antik juga diperolehi dari Cina. Timba ini digunakan untuk mengangkat air dari sungai. Jarang-jarang ditemui timba sebegini rupa sebab itulah saya memilikinya. Selain susah nak dibawa masuk dari negeri Cina, bilangan nya juga sedikit kerana ia benar-benar antik.
Sebenarnya banyak lagi koleksi dari Cina yang ada dalam simpanan. Apa pun memiliki sebahagian koleksi antik Cina sudah memberikan kepuasan kepada saya kerana antik Cina pelengkap hiasan rumah. Amati pantun ini;
Anak Cina jual sotong,
sotong dijual bergantung-gantung
tidak rugi tidak untung
barang dapat poket kosong......... ha ha ha
esok jangan layu-layuan;
intai kami antara nampak
esok jangan rindu-rinduan
Merdu sekali bait-bait pantun dan gurindam Melayu lama. Sampai sekarang iramanya mengasyikkan. Saya cukup kagum kemerduan suara Tan Sri S.M.Salim bila mendendangkan lagu Pantun Budi. Betapa hebatnya pengarang dahulu kala melayarkan mata pena mencatat suka duka pengalaman. Bak kata orang,'Tak kan Tuah hilang di dunia'.
Begitulah juga dengan koleksi antik yang menjadi rebutan orang. Ini adalah kunci tembaga antik yang digunakan oleh orang dahulu untuk mengunci gudang atau rumah. Kunci buatan Jerman ni masih kukuh dan boleh dipakai. Saya mendapatkan kunci ini dari Kedah. Umurnya lebih kurang 60 tahun. Warnanya yang kusam begitu cantik melambangkan kehebatan kunci ini. Tak rugi memilikinya. Koleksi ini baru diperolehi dan akan digunakan sebagai kunci pintu utama.
Masih cantik dan bersinar warna tembaganya. Mangkuk bertutup tembaga ini dibeli di Tamu Minggu Jalan Gaya. Saya tak tahu dari mana asal usulnya kerana penjualnya memperolehinya dari orang kampung yang menjual koleksi ini padanya. Usia mangkuk bertutup ini melebihi 100 tahun dan masih lagi boleh digunakan.
Ini pula cangkir perak berusia lebih 150 tahun dizahirkan semasa zaman Victoria di England. Masyarakat England menggunakannya untuk mengisi minuman panas sperti kopi dan teh. Kawan bagi percuma kerana katanya tak sesuai disimpan di rumahnya. Sekarang cangkir perak antik ni tak boleh digunakkan lagi jadi saya pajangkan saja kat almari antik Cina.
Begitulah juga bila kita berkunjung ke rumah kawan dan mendapati rumahnya sangat teratur dan kemas ditambah lagi dengan aksesorinya yang cantik dan menarik menghias ruang. Ada juga rumah teman yang dikunjungi terlalu sarat dengan barang-barang perhiasan kecil mahu pun besar dek kerana teman tadi suka membeli. Lain pula halnya ruang tamu yan dibiarkan kosong dan hanya diisi dengan perabot asas seperti set kerusi ruang tamu sahaja.
Jadi kita perlu bijak meletakkan perhiasan kecil supaya dapat mengumpan mata kita atau orang bila memandang perhiasan tersebut. Malah kita boleh menukar perhiasan tersebut selepas 3 bulan sekali sekiranya kita mempunyai banyak koleksi
Pemilihan perhiasan atau ornamen perlu betul dengan fungsinya. Perhiasan dalam rumah biar sesuai dengan perabot dan warna cat atau langsir yang ada. Di pasaran sekarang, pelbagai koleksi hiasan rumah boleh dipilih dan dibeli. Namun demikian seperti yang saya katakan awal tadi, biarlah ia sesedap nasik lemak panas!
Baru-baru ni saya berjumpa dengan kawan yang beria-ria bercerita dengan saya yang dia telah membelikan isterinya satu set kerusi antik. Lalu saya bertanyakan kepada nya berapa usia set kerusi yang dibelinya? Kawan saya terpinga-pinga dengan soalan spontan saya kerana barangkali di kurang faham atau tidak tahu dengan istilah antik atau barang baru yang sengaja dipanggil sebagai barang antik.
Sebenarnya ramai orang seperti kawan saya. Antik mengikut istilah Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sesuatu yang dihasilkan pada zaman lampau, tetapi dikumpul dan dinilai kerana mutu kerja dan usianya. Denga kata lain barang antik mempunyai nilai estika, nilai sejarah dan bahan peninggalan yang amat berharga.Barang yang melebihi 100 tahun barulah boleh dikategorikan sebagai antik. Orang barat meletakkan umur 100 tahun sesuatu barang itu baru boleh dpanggil antik dan kurang dari itu hanya sebagai barang lama.
Sesetengah pengumpul antik dan pakar antik tempatan berpendapat di Malaysia, barang dihasilkan sebelum merdeka atau 50 tahun ke atas bolehlah dilabelkan sebagai antik kerana negara kita adalah negara baru berbading orang Arab atau Eropah hatta orang Cina yang mempunyai tamaddun beribu tahun lamanya. Barangan antik di Malaysia terhasil daripada kerajaan Melaka dan ketika zaman penjajahan bangsa eropah termasuklah Portugis,Belanda dan Inggris. Selain itu diperolehi oleh sebab faktor perdagangan dengan negara-negara lain seperti Cina dan India. Manakala barang lama masyarakat Melayu terdiri dari barangan tembaga dan kayu yang menjadi kegunaan sehari-hari masyarakat terdahulu.Barang antik dijeniskan mengikut bahan yang digunakan seperti perabot kayu, seramik, logam dan batu-batan. Di Malaysia berbanding Indonesia, agak sukar untuk mendapat barang antik dan hanya beberapa negeri seperti Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak yang agak mudah untuk mencarinya.
Hari ini, oleh kerana ramai yang gilakan perabot antik maka wujudlah perabot antik-antik atau pura-pura antik yang banyak dipasaran. Sebenarnya amat sukar untuk mengenali barang antik jika anda jarang melihatnya kerana barang pura-pura antik rupanya hampir menyamai yang betul-betul antik. Ciri-ciri barang antik asli biasanya terdapat sedikit kerosakan kerana dimamah usia. Contohnya kalau perabot kayu, sebahagian kayunya sudah terkikis atau rosak. Begitulah juga kalau barang logam seperti tembaga mesti tahi logam tertara atau berkarat.
Itulah serba sedikit yang saya tau sebagai panduan untuk mengenali barang antik asli atau ori. Orang kata 'hanya jauhari yang mengenal manikam'.
Kisah kawan saya tadi terjawab kerana set kerusi jati yang dibeinya adalah set kerusi jati yang diukir dan digelapkan warnanya seolah-olah antik. Satu lagi, biasanya set kerusi lengkap jarang djumpai sekiranya set itu betul-betul antik.
Jauh berjalan luas pandangan. Bila dah luas pandangan tu macam-macam yang kita dapat lihat. Kalau di Terenganu dan Kelantan, saya amat suka melihat rekabentuk rumah Melayu tradisional. Menepati citarasa saya kerana rumah tradisonal banyak menggunakan ukiran kayu dalam rekabentuk rumah sama ada di luaran mau pun dalaman rumah. Uniknya ukiran kayu Melayu bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan awan larat.
Di Sabah tak ramai rumah tradisi yang mempunyai ukiran cantik seperti di Semenanjung malah perabot antik pun sukar dicari. Sebab tu lah masa nak besarkan ruang tamu, saya sempat meminta contoh layar tebar atau ukiran dibawah bumbung yang banyak di Terengganu. Akhirnya hajat tercapai bila kawan bawa sebatang ukiran layar tebar yang dijadikan contoh oleh tukang ukir. Terubat juga keinginan memiliki bumbung layar tebar walaupun dipasang pada bahagian depan rumah dan coraknya agak mudah.
Sebenarnya saya begitu kagum dengan orang Terengganu yang memartabatkan seni ukir tradisonal. Bermula dari Lapangan Terbang, ke Muzium Negeri terengganu hinggalah ke Masjid Kristal, ciri-ciri ukiran Melayu dizahirkan dengan begitu indah. Itu belum lagi bas bandar yang bergerak di sekitar bandar Terengganu yang cukup cantik dan menawan serta mengkagumkan mata yang memandang.
Selain ukiran Melayu, saya juga memiliki perabot ukiran ala Perancis yang diambil senirekanya di zaman rennissance. Cuba lihat almari perhiasan warna mahogani kehitaman. Corak kebaratan nampak jelas walaupun ia dibauri dengan bentuk dedaunan. Almari ini pun dibeli dengan harga murah dan ramai kawan-kawan tak percaya dengan harga berbanding kualiti dan kehalusan seni buatannya. Di belakang almari ini saya menggunakan

kayu merbau untuk selusur dan butun-butun atau kekisi anak tangga.
Ia juga sarat dengan ukiran tebuk 3 demensi yang sunggu halus
buatannya. Kebetulan pula dekat rumah ada tukang ukir kayu yang begitu mahir. Orang kata bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Tak rugi rasanya kerana bukan saja cantik di pandang, kualitinya melangkaui zaman-berzaman.
Begitulah juga kalau dah sukakan barang antik. Makan antik, tidur antik dan semuanya antik. Nak salahkan orang pun tak boleh sebab dah minat. Kalau boleh seluruh rumah pun nak buat dari kayu antik. Katil pun antik hatta kalau boleh pintu pun nak juga pakai pintu antik.
Pepatah ada mengatakan, 'sedikit-sedikit ,lama-lama jadi bukit'. Dalam soal memiliki dan mengumpul barang antik yang kita minat sangat, kita perlukan belanja yang bukan sendikit. Justeru itu beli atau belanja biar berpadan. Beli yang kita berkenan dan mampu beli satu-satu dan kemudiannya kumpul sedikit-sedikit. Bila barang yang ada da banyak barulah dipajang atau pamerkan sebagai hiasan rumah atau sebagai perabot yang menunjangi hiasan dalaman kita.
Saya cukup kagum dengan mat salleh atau orang barat. Kagum bukan kerana mereka cantik, tetapi kagum kerana masyarakat di sana terdidik untuk menghargai barang pusaka atau warisan. Tak hairan lah kalau kita berkunjung di setiap rumah mereka, sekurang-kurangnya ada satu atau dua perabot dari warisan keluarga mereka. Sesungguhnya mereka begitu menyanjung dan menghargai apa yang kita miliki. Di tempat kita, barang-barang lama kalau tak digunakan lagi dibuang begitu saja atau dijual dengan harga yang cukup murah.
Saya belum berkesempatan untuk melancong ke London, England tetapi saya telah memiliki beberapa objek kecil yang antik hasil buatan sana. Kebetulan seorang rakan yang baru balik dari London menghadiahkan sebuah lukisan vintage berusia 50 tahun. Lukisan bunga mawar siap dengan framnya cukup cantik sekali. Katanya lukisan dari pelukisnya kini menjadi rebutan kerana sentuhan tangan pelukisnya tiada tolok bandingnya. Difahamkan pelukisnya pun dfan meninggal dunia. Kebetulan saya sememangnya gemar melukis dan amat seronok sekali menerima lukisan itu. Selain itu, rakan berkenaan turut menghadiahkan cangkir perak berusia 150 tahun dan kini menghiasi salah satu almari di rumah.
Kini untuk memiliki barang antik tempatan seperti barang tembaga agak sukar. Kalau pun ada, aduh harga nya cukup lumayan. Cerita bab barang tembaga, saya juga memiliki beberapa. Ada yang dibeli semasa melancong, ada juga yang dihadiahkan rakan yang memahami minat saya. Suatu ketika saya pernah ingin memiliki tepak sirih tembaga antik, tapi tak jadi beli kerana harga yang ditawarkan agak mahal dalam RM 500-RM800.00. Tak terbeli dan pendamkan saja keinginan itu. 3 tahun lepas ketika melancong di Sarawak, saya akhirnya dapat memiliki tepak sirih tembaga antik dengan cuma RM100. Itu pun setelah puas memujuk penjual yang datang dari negara seberang.
Dalam Gambar kelihatan tepak sirih antik dan satu pasang kaki lilin yang menghias meja jodang antik berusia 100 tahun. Meja jodang tu lah yang mempunyai cerita menarik bagai mana saya memilikinya. Sebenarnya meja jodang tu saya meminta rakan penjual perabot jati mencarinya di Indonesia selepas melihat gambar jodang dalam internet. Rakan saya membelinya dari rumah orang kampung dengan memujuknya supaya menjualkan jodangnya yang diisi segala cd dan vcd. Menurut tuan rumah jodang itu adalah warisan keluarga daripada nenek moyangnya lagi. Saya tidak tahu berapa harga sebenar jodang itu tetapi rakan saya hanya memintak saya bayar RM630 sahaja. Bila saya melihat harga jodang antik dalam laman web atau iklan jual beli, aduh harganya ribu-ribu RM kerana jodang saya jodang asli.
Ini pula gambar almari antik yang saya ceritakan. Almari antik ini lah barang yang paling saya sayangi kerana ia adalah warisan keluarga dan saya keturunan ke empat yang menyimpannya. Almari yang dibuat dari kayu laut ini mempunyai sejarah yang cukup menarik kerana almari ini di bawa belayar oleh arwah mak cik saya pada tahun 1950 dari kepulauan Chirsmas-Cocos Keeling dan pernah singgah di Singapura dan Jeselton ( Kota Kinabalu ) sebelum sampai di Tawau. Almari pakaian yang dibuat oleh moyang saya ini cukup pelik kerana bila diangkat kakinya akan tanggal dari badan almari dan mudah di pindah-pindahkan. Almari ni pun saya dah wariskan kepada puteri bungsu saya yang minatnya sama dengan saya. Kemana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Nak dapatkan almari ni 3 tahun saya pujuk arwah mak cik saya dan akhirnya sejak 2002 saya menyimpannya.

Saya berjiwa seni dan meminati lukisan. Sejak dari kecil amat tertarik kepada benda-benda yang mempunyai niali seni yang tinggi. Tetapi sejak 10 tahun lepas, minat kepada barang antik amat menebal. Apa tah lagi bahan-bahan bacaan tempatan dan luar negeri sudah lama membicarakan tentang barang antik, nilai dan penjagaannya. Menarik bukan! Minat memikili dan mengumpul barang antik bisa membuatkan si pengumpulnya menjadi rajin kerana sama ada barang itu berbentuk perabot atau pun objek kecil seperti tembaga atau seramik, penjagaan yang berterusan amat penting sekali. Sekiranya kurang penjagaan, makan warna objek berkenaan akan nampak seolah-olah'mati'.

Memandangkan blog aryani antik ni baru disiapkan, saya baru dapat masukkan 3 keping gambar-gambar barang antik yang saya miliki untuk dikongsi bersama rakan-rakan. Apa yang menariknya, nama aryani bermaksud'istana' dalam bahasa lama sanskrit. Tapi bagi saya nama Aryani maknanya lebih besar dari itu kerana puteri saya pun diberi nama Aryani. Satu nama yang cukup unik dan indah.
