Minat Kayu Semua Kayu

Keindahan flora dan fauna bumi kita yang dianugerahkan tuhan bukan sahaja dapat ditatap malah sumber kayu-kayannya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Dengan sistem perhutanan yang terkawal, keindahan flora dan fauna yang kita miliki masih bisa ditatap dan dinikmati aromanya. Iklim khatulistiwa yang panas dan hujan sepanjan tahun mengkurniakan bumi kita pelbagai jenis atau spesis kayu yang tinggi nilainya. Siapa tidak kenal kehebatan dan ketahanan kayu cengal di Semenanjung. Ketahanan cengal membuatkan binaan dahulu kala dapat kita kecapi pada hari ini. Malah kayu jenis lain seperti merbau, kapur, seraya,balau, jati, kayu malam ( di Sabah dan Sarawak ) dan pelbagai jenis lagi dijadikan asas kepada pembuatan rumah dan perabot berkualiti tinggi.

Lahir di kawasan yang berbukit yang dikelilingi gunung-ganang, membuatkan naluri saya sukakan apa-apa sahaja yang diperbuat daripada kayu. Urat kayu membuat saya terpaku. Memandangnya memukau mata dan tumpuan. Malah warna asas kayu yang pelbagai juga amat menarik minat. Memang minat dengan kayu -kayan bumi tercinta ini.

Berangan tentang kehebatan kayu, satu hari nanti keindahan itu akan saya dapat nikmati juga. Saya secara peribadi suka dengan rumah kampung yang diperbuat dari kayu. Terasa sejuk dan sedap mata memandang. Sebab itulah sewaktu saya memiliki rumah batu, saya bertekad sebahagiannya akan saya pasang kayu bagi menyejukkan ruang dan memenuhi minat saya itu. Hasilnya, saya memiliki pelbagai jenis kayu yang dibuat perabot walaupun rumah saya sekangkang kera besarnya.

Jendela asal kayu balau
duduk bersandar dibangku jati,
meja kayu malam tetap memukau
kayu merbau di tangga jadi kekisi

Gerobok tv kayu durian
almari rendah rosewood dari pakistan,
meja teh mahogani jadi pilihan
betapa indahnya hasilan hutan

kayu bawang2 jadi intipan
sukar dicari jadi igauan,
rel keretapi lama kayu belian
lemari kayu gerongang jadi warisan

Pintu antik, dinding jati
tetap asli bukan tiruan,
seraya, kapur dan meranti
cengal dibawa dari perantauan

Begitulah bunyinya bait-bait gurindam lama yang dapat ditintakan betapa saya sangat sukakan perabot dan rumah daripada kayu. Memiliki perabot kayu sama ada antik atau pun baru cukup menjadi kepuasan kepada saya.

Dalam hal ini, ramai kawan-kawan yang saya lihat menghimpunkan perabot jati satu rumah dengan warna jati yang sama. Mereka cukup bangga malah kita pun tumpang bangga kerana kawan ita memilikinya. Cuma dalam pemilihan perabot, andaikata kita mempunyai 90% perabot dan rumah dari kayu, kita perlu bijak menyusun atur dan mewarnakannya. Kalau tidak rumah kita akan kelihatan tak berjiwa dan kaku. Apa pun yang kita miliki kita juga perlu tahu fungsi dan letak aturnya barulah rumah kita nampa berseri apa tah lagi kita bakal menyambut lebaran.

Sama ada kita suka perabot berukir atau potongan lurus, kreativiti amat penting. Bagaimanapun dalam segala hal kita tidak boleh berlebihan. Bersederhana sepertimana dalam tuntutan agama itulah yang lebih afdal dan baik. Apa pun saya seronok dibuai mimpi dengan katik kayu, menatap cermin dengan bingkai kayu malah menyimpan baju dalam almari ukir kayu.






Entah di mana silapnya, ramai di kalangan kita terlupa untuk menjadikan tinggalan atau warisan nenek yang satu ini. Barangan tembaga antik seperti celapak, gobek, kaki lampu dan tepak sirih dibiarkan tersimpan dalam almari lama atau dikotak dalam stor rumah. Ghairah pula mencari barangan luar negeri untuk dijadikan himpunan perhiasan yang sarat mengisi rumah kita. Konon-kononnya nak tunjukkan minat kita sama dengan minat orang lain sedangkan tepak sirih menjadi 'Dayang Senandong' terbiar begitu sahaja.

Saya bukan anti barangan luar negeri terutama dari barat tetapi sekurang-kurangnya kita hargai tinggalan lama warisan nenek moyang. Saya pun suka juga dengan pinggan mangkok dari barat kerana sememangnya banyak yang antik dan berkualiti tinggi. Tapi bagi saya cukup sebagai minat kepada barangan itu dan memiliki sedikit koleksi, selebihnya saya lebih suka mengumpul barang antik dari nusantara dan Asia yang sebati dengan kehidupan sekitar kita. Apa tah lagi saya dilahirkan sebagai budak kampung yang tidak banyak mewarisi tinggalan nenek moyang kerana datuk saya seorang perantau.

Seronok juga tengok rumah kawan-kawan yang mempunyai koleksi Inggeris yang sarat satu rumah, namun dengan bangganya mereka mengatakan sangat minat gaya kedesaan Inggeris tanpa menilai sesuaikan dengan budaya kita. Dalam majalah deko tempatan banyak yang mempamerkan gaya seumpama ini. Tapi tanpa kita sedari rumah kita lebih sarat dengan barangan pameran ala Inggeris berbanding rumah orang Inggeris sendiri. Kalau tak percaya cuba lihat rumah orang kita di majalah deko tempatan dan bandingkan dengan rumah ladang orang Inggeris dalam majalah luar negeri.

Saya sebenarnya pun minat dengan stail ala Inggeris atau barat. Saya suka melihat deko mereka kerana hampir semua mereka bangga dengan warisan nenek moyang mereka. Perabot dan alatan hiasan lama menjadi rebutan untuk diisi di ruang tamu mereka tetapi tidak pula macam sesetengah orang kita yang makan nasi guna tangan tapi pinggan mangkok dan hiasannya mengalahkan mat salleh.

Kita seronok pamerkan barangan ala gaya kedesaan Inggeris sehinggakan kita lupa yang kita ter'over' dalam menyusun aturnya. Walau bagai manapun ada juga orang kita yang air tangannya menjadi dalam menghias rumah ala kedesaan Inggeris. Syabas! Seronok melihat hasil sentuhan kreatif orang
kita yang mempunyai pelbagai cita rasa.

Jadi kalau kita masih simpan barangan tembaga antik dalam stor atau almari lama, sempena menyambut lebaran tahun ini, apa kata kita keluar dan bersihkan lantas dijadikan penyeri meja dan sudut. Pasti jiran tetangga dan sanak saudara yang berkunjung ke rumah kita pun akan mengikut langkah kita. Kalau bukan kita siapa lagi yang harus dan patut bangga dengan warisan dan budaya kita.
Barangan tembaga antik juga semakin lama semakin mahal harga dan nilainya. kalau dulu kita boleh dapat dengan harga yang murah, kini harganya berlipat kali ganda. Justeru itu bagi yang menggemarinya, jangan tertipu dengan barangan baru yang didakwa antik.

Mimpi Pun Barang Antik



Pelik tapi benar...... tu lah yang berlaku kat saya selalu. Orang lain barang kali mimpi indah atau mimpi makan makanan nyang sedap-sedap, tapi saya selalu mimpikan saya berada dalam kedai atau rumah yang dihimpunkan barang-barang antik. Walaupun orang kat mimpi itu mainan tidur tetapi mimpi juga berkait dengan gelora dan kehendak kehidupan kita sehari-hari.

Saya pun macam kawan-kawan ada barang antik yang kita hajati tetapi masih belum jumpa atau mampu dibeli. Kadang-kadang bukan kerana harganya mahal, tetapi di tempat saya benda tu tak dijual. Sebenarnya saya agak menyesal tidak membeli kukur antik dari Kelantan yang dijual di kaki Chow Kit. Ketika itu saya nak balik Sabah dan tergesa-gesa. Harganya cukup mutu dan murah dan kukurnya tembaga ori. Aduh cantik sangat tapi dah nasib bila datang lagi ke Kuala Lumpur, kukur tu da dikebas orang.

Ada juga kukur antik yang saya jumpa di Terengganu, tapi saya tak berkenan pula. Sebenarnya saya jatuh cinta dengan kukur antik ni selepas melawat istana lama Kelantan yang dijadikan muzium. Masa tu tak puas nak melawat, sebab singgah 1 malam sahaja. Apa pun beruntung juga kerana kawan bawa makan nasi kerabu dan nasi ayam kampung. Terangkat abis. Masa tu tak kenal lagi Kak Nor Hobi, kalau tak dapat shoping batik kat kedai Kak Nor Hobi.

Cerita pasal barang antik ni, ramai yang mengatakan barang antik ni berpuaka atau ada penunggunya. Barang kali ada benarnya dan atau tidak. Saya pernah membeli sebuah perahu kecil lama di Kuching, Sarawak 7 tahun lepas. Bila sampai dirumah, macam-macam saya mimpi dan bila terkejut saya teringatkan perahu tu. Lepas lima hari perahu tu saya serahkan kepada rakan yang tau 'menggunakan' nya. Apa pun semua ada hikmah disebaliknya atau sekadar mimpi itu mainan tidur.
Itulah sebabnya orang tua-tua selalu berpesan sebelum tidur kita kena basuh kaki terlebih dahulu dan baca bismilah..... baru lah kita tidak diburu mimpi yang pelik-pelik.






Sayang-sayang buah kepayang, dimakan pahit dibuang sayang....... pantun lama yang masih kedengaran bila kita enggan mengubah atau melepaskan barang kesayangan kita yang kita tak gunakan lagi.

Bagi penggemar barang antik, kita jangan jadi seumpama pantun kiasan di atas kerana tidak guna kalau kita berhabis duit dan kumpul sekapal barang antik kalau kita tidak tahu menilai keindahan dan nilainya. Bila dah banyak berlonggok, baru lah kita sibuk nak bersihkan atau nak jual kepada orang lain. Sebab itu lah pada pandangan saya, kalau kita bertujuan untul membuka kedai antik di masa akan datang bolehlah kita membeli dan terus membeli, melonggok dan terus melonggok barang antik kita.

Ramai juga blog kawan-kawan yang saya dah tengok. Aduh barang antiknya banyak sekali tapi saya dia tidak tahu bagai mana untuk memajang atau mempamerkan keindahan dan sejarah barang antik yang dimiliki. Sebab itu lah di awal pengkisahan saya dalam blog ini awal-awal lagi saya dah jelaskan pandangan saya. Kita harus bijak susun atur ruang dengan suai padan barang antik yang kita miliki. Kalau kurang arif, boleh minta bantuan kawan-kawan yang lebih mahir tentangnya. Kalau segan, beli buku dan majalah hiasan dalaman dan jadikan sebagai rujukan.

Saya percaya wang yang kita laburkan tidak sia-sia kerana kita mengecapi dan menikmati keindahan barang antik bukannya simpan penuh satu almari bertutup atau dalam stor yang dibiarkan bertahun-tahun.

Barang antik juga perlu dibelai barulah ia berjiwa. Maksud saya kita perlu menjaganya sebaik mungkin dan tahu di ruang atau sudut mana nak diletakkan. kadang-kadang saya sendiri bila datang masa malas, ada juga barang antik yang terlonggok. Itu lah masalahnya.


Satu lagi, orang kita suka hanya untuk menjadikan pameran kepada barang antik yang dimiliki bukan untuk digunakan. Berbeza dengan orang barat, mereka tahu nilai barang antik tinggi sebab itu lah mereka semaksima mungkin menggunakan fungsi barang tersebut sama ada kalau perabot digunakan manakala kalau ornamen sebagai pelengkap susun atur perabot.

Sebab itu lah kalau kita lihat ada rumah yang kelihatan anggun dan tersangatlah indah dengan sentuhan barang antik walau pun tak banyak berbanding rumah yang dilonggokkan sekapal barang antik.

Ada kawan di kampung yang mempunyai warisan barang tembaga yang begitu banyak dan disimpan dalam satu bilik khas. Untuk apa kita buat sedemikian. Kata rakan saya, beliau tidak tahu nilai dan tidak minat dengan barangan tembaga yang mempunyai nilai dan harha yang sangat tinggi lalu dibiarkan sahaja berlonggok begitu saja. Aduh sayang sekali.


Barangan tembaga kita perlu rajin mengilatnya dan bijak menyusun atur sebagai perhiasan tambahan. Kalau tidak warnanya akan kusam kehitaman macam Dayang Senandung pulak! Kita juga tau barangan tembaga juga jadi warisan keturunan khususnya masyarakat Melayu Brunei, Bajau dan Orang Kadazan-Dusun. Sayang kalau kita tidak menghargainya kerana ia adalah lambang sejarah dan budaya kita.

Bagi yang banyak mempunyai perabot antik dari kayu khususnya kayu jati, penjagaannya juga tidak susah. 3 Bulan sekali perabot kayu perlu dibersihkan dan dirawat. Mudah saja, gunakan kain yang direndam air dan kemudian perah. Lap perabot dan bersihkan abuknya. Lepas itu lap semula dengan lain kering dan biarkan seketika. Kemudian sapukan minyak kayu murni atau minyak kayu jati keseluruhan badan perabot. Selain untuk mengilatkan kayu, ia juga menghindari dari sebarang serangan serangga perosak. Malah bau minyak kayu akan membangkit rasa.

Kata orang, lain padang lain belalang. Kalau dan belalangnya pun lain pasti seleranya pun lain. Kita punya barang, jadi kita punya suka lah nak letak kat mana. Betul tak!
Apa pun kalau kita bijak pasti barang yang kita miliki akan makin tinggi nilai dan harganya. Malah bukan sahaja kita yang dapat menikmati keindahannya, malah orang lain juga demikian. Tidak salahkan untuk menmbuat orang lain rasa gembira sepertimana kita.



Barang kali kita masih ingat lagi semasa zaman kecil-kecil dulu, tempayan atau gentung diletakkan di tepi tangga. Tujuannya sebelum kita naik tangga kita perlu membasuh kaki terlebih dahulu. Tempayan tempat menadah dan menyimpan air pada ketika itu fungsinya amat penting sekali. Ada juga tempayan untuk menyimpan beras dan barang keperluan lain bergantung dengan rupa bentuk dan besar kecilnya tempayan.

Hari ini, kita kurang menggunakan tempayan sebaiknya temayan atau gentung dijadikan perhiasan atau ornamen untuk menghias sudut rumah. Sama ada dibiarkan kosong atau diisi dengan karangan bunga atau payung.

Pada waktu dulu tempayan atau gentung besar yang berukir naga dijadikan tempat tokeh menyimpan telur asin. Boleh dikatakan harganya cukup murah. Kini tempayan sedemikian aduh mahal jga harganya kerana selain susah dicari, ia tidak lagi dijadikan tempat meyimpan barang.

Saya juga memiliki beberapa buah tempayan atau gentung antik. Ada yang besar, ada yang kecil. Memiliki tempayan antik buka mudah kerana hari ini orang dah tak jual lagi benda-benda lama sebegitu. Saya beruntung kerana sebahagian tempayan tempat menyimpan air diberi percuma oleh kawan-kawan yang tahu minat saya atau yang kesian dengan pujukan saya.

Kalau kita memiliki tempayan besar, kita bole meletakkannya disudut ruang yang kosong sama ada dibiarkan kosong atau ditambah dengan hiasan lain. Jangan pula kita longgokkan temayan-tempayan kita satu tempat kerana selain boleh nyamuk bersembuyi, ia juga tak elok dipandang. Malah hari ini di bandar, tempayan besar dijadikan ornamen penghias taman atau sebagai titik tumpu dalam mengindahkan lagi kepelbagai struktur taman selain pergola dan batu-batuan.

Bagi tempayan kecil yang comel, sesuai dijadikan tempat menggubah bunga sama ada bunga hidup atau bunga plastik. Semuanya terpulang kepada kita kerana sama ada seseorang itu menggemari hiasan ala zen yang kurang perabot atau gaya nusantara kerana ornamen ini mampu mengindahkan lagi sesebuah ruang.

Kalau dulu biasanya tempayan atau gentung diperbuat sama ada diperbuat dari tanah liat atau seramik, berbeza pada hari ini tempayan dibuat dari akar kayu sama ada kayu lama atau kayu yang baru ditebang. Tempayan sebegini lebih bertujuan sebagai ornamen penghias ruang.

Untungnya pada hari ini kalau kita susah dapat tempayan antik, tempayan baru dan moden yang mempunyai rekabentuk dan corak yang lebih menarik amat banyak di pasaran. Rajin-rajinkan diri dihujung minggu menjenguk kedai atau tempat yang sesuai untuk melihat dan membuat pilihan. Saya pasti ramai yang meminati tempayan atau gentung sebagai salah satu ornamen penyeri ruang.


"Kalau pakai tudung, biar sedondon ngan baju. Baru nampak serinya. Kalau tak orang tak tau kau pakai tudung mahal ka tak!", kata seorang rakan perempuan dengan rakan perempuannya yang duduk sebelah meja. Saya tersenyum mendengar sembang pagi mereka. Biasalah orang perempuan, nak baju dan tudung yang sama warna. Itu belum lagi masuk bab pilihan kasut dan beg tangan. Semua nak sedondon.

Dalam susun atur perabot antik kalau semua perabot antik dilonggokkan satu tempat, itu bukan lagi dipanggil sedondon. Ramai juga rakan-rakan yang memuji susun atur perabot di rumah saya. kata mereka dari mana saya belajar? Saya jawab, ikut naluri dan banyakkan pembacaan majalah hiasan dalaman. Dalam menghias pun kita juga kena bayangkan hiasan kita melebihi dari hiasan orang lain. Maksud saya biar imigenasi kita tidak dibatasi oleh pengaruh orang lain secara total. Kita bebas menyusun ruang yang kita suka asal nampak cantik dan praktikal. Sebab kalau cantik pun tapi tak praktikal pun tak guna. Begitu juga kalau kita terlalu pentingkan fungsi sesuatu barang sahaja, idea menghias akan menjadi terhad macam ruang juga. Jadi dalam menyusun atur perabot dan menghias ruang, kita perlu adunkan keperluan mata, minda dan jasmani kita.

Kalau kita minat sangat dengan sofa atau bangku 3 tempat duduk antik, kita tidak perlu menyusun sofa kita dengan menggunakan material yang sama. Maksud saya kalau kita punya set sofa kayu elok ditambah sofa baldu atau sofa kulit sebagai perabot tambahan dalam ruang tamu. Tujuannya supaya ruang kita nampak hidup dan terkesan. Kalau semua kayu akan nampak rumah kita jadi layu dan kaku. Jadi penggunaan pabrik adalah amat penting bagi melembutkan warna kayu.

Sebenarnya ramai rakan yang pening kepala kerana tidak atau kurang bijak menggunakan konsep suai padan dalam menghias ruang. Mereka tidak berani mencuba. Ada pula yang takut diketawakan atau diperli oleh jiran atau sanak saudara yang bertandang.

Bagi ruang tamu yang sempit terutama yang tinggal di flat atau apartmen, konsep suai padan adalah pilihan yang paling tepat. Sofa fabrik 3 tempat duduk dijadikan perabot utama, 2 buah kerusi betawi antik ditambah sebagai pelengkap set ruang tamu dengan sebuah meja ottoman. Elakkan meletakkan perabot yang sarat. Sebuah gerobok antik boleh dijadikan tempat menyimpan TV bagi menggantikan almari rendah. Sekiranya berminat dengan permaidani, jangan sekali-kali menggunakan permaidani yang terlalu besar atau terlalu siput (kecil).

Bagi yang mempunyai ruang tamu yang luas atau lebih dari satu, bukan juga menjadi perkara muda untuk menghiasnya. Silap-silap rumah nampak bercelaru dengan pelbagai konsep. Oleh itu kalau kita tidak tahu atau kurang mahir menyusun atur perabot, kita boleh mendapat bantuan dari kawan-kawan yang tahu. kalau kita cukup peruntukan kewangan, upah saja juru hiasan dalaman kerana tidak guna kita mempunyai rumah besar tapi dalamnya macam 'tikus beranak' susun aturnya. Selamat mencuba.

Blogger Template by Blogcrowds