Ruang Indah menyambut lebaran


Selamat Hari Raya
kepada saudara serta saudari
setahun hanya sekali
merayakan hari yang mulia ini.......

Saban tahun dendangan lagu-lagu hari raya bikin hati jadi rawan. Bagi yang bertugas dan tidak dapat beraya dengan keluarga, pasti hati sayu bila mendengarkan takbir di pagi raya. Dalam sibuk membuat persiapan bagi menyambut hari kemenangan bagi umat Islam ini, pastinya kita dah sibuk menggantikan langsir baru, permaidani baru dan pinggan mangkuk baru. Kata orang semuanya baru.

Dalam kemeriahan, kita hendaklah menyambut hari mulia ini dengan kesederhanaan. Bagi yang tidak mampu berbelanja lebih saya percaya kita bijak menyuai padankan ada yang kita ada agar rumah kita nampak bersih, berseri dan indah di hari lebaran. Walau pun tahun ini kain langsir tak berganti, permaidani masih lagi yang lama, saya lebih memberi tumpuan membersihkannya serta mengubah susun atur perabot. Jangan lupa 70 peratus perabot dan barang-barang yang saya ada semuanya antik. Kalau diganti yang baru, meratap hiba le saya di pagi raya.

Lebaran tahun ini saya hanya membeli bunga baru untuk meja utama di ruang tamu. Itu pun kerana saya dah jatuh cinta dengan bunga lavender ungu. Nak cari levender ungu kat Sabah bukan main susah tak macam di Semenanjung. Kalau ada pun harganya aduh mak boleh tahan juga. Habis juga seratus ringgit beli bunga kerana nak suaipadankan dengan timba kayu antik dari Cina.

Dalam bab menghias karangan bunga, jujurnya saya lebih suka tidak terlalu menyusun atur gubahan bunga seperti di kedai-kedai bunga. Malah saya lebih suka gubahan Inggeris kerana bunga nampak liar dan semulajadi biarpun bunga tiruan. Bunga juga amat penting dalam menyerikan ruang. Bagi saya tanpa bunga hidup tak bermakna kerana warna-warni bunga dapat menghilangkan stress dan tekanan selainkan melembutkan ruang yang sarat dengan perabot.

Bagi kawan-kawan yang mempunyai koleksi pinggan yang mahal, ini lah masanya untuk kita menggunakannya. Kalau hari biasa terpajang atau terpamer dalam almari, sempena lebaran mari kita gunakan untuk keluarga dan para tetamu. jadi tak rugi membelinya.
Malah kita akan merasa bangga bila ada orang yang memuji kecantikan pinggan yang kita ada.

Dalam menghias rumah, kita jangan alpa sehingga rumah kita jadi bilik pameran atau terlalu sarat dengan perabot dan barang-barang. Kita juga perlu ingat di hari lebaran ramai tetamu yang datang dan berkunjung, jadi kita pastikan agar ada ruang untuk tetamu yang datang beramai-ramai. Elakkan susun barang-barang berharga seperti mangkok atau lampu kristal di kawan yang mudah di sentuh. Jangan sampai kita berputih mata.

0 Comments:

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds