Alang-alang Mandi Biar Basah


Tika kecil dulu kalau ibu suruh mandi petang, rasa liat betul. Time mandi pula macam mandi kerbau. Dua tiga kali siram dah siap. Tu yang tak tahan leteren ibu minta mandi semula guna sabun dan bilas bersih-bersih. Bila sentuh bab mandi, kita kena mandi betul betul sepertimana kata orang tua-tua,'alang-alang mandi biar basah'. Peribahasa ini juga membawa maksud kalau kita lakukan sesuatu biarlah bersungguh-sungguh atau sehingga selesai.

Begitulah juga kalau dah sukakan barang antik. Makan antik, tidur antik dan semuanya antik. Nak salahkan orang pun tak boleh sebab dah minat. Kalau boleh seluruh rumah pun nak buat dari kayu antik. Katil pun antik hatta kalau boleh pintu pun nak juga pakai pintu antik.

Ini gambar pintu antik kayu jati berusia 80 hingga 100 tahun. Pintu ni dikenali sebagai gebyok. Sebenarnya pintu ini sepatutnya dipasang dinding sebelah menyebelah. Tetapi oleh kerana sayang nak pasang dinding di luar rumah maka dinding kiri kanan pintu saya pasang atau letakkan di dalam rumah sebagai dinding dalam rumah. saya amat teruja dengan ukiran lama dan urat kayu jati yang timbul dek kerana terlalu lamanya usia pintu ini. Warna ukiran bunga atas pintu dah dikikis untuk melihatkan keaslian dan urat kayu. Ia nampak lebih menyerlahkan keunikan dan keantikan ukirannya.

Sebenarnya pintu ini bukan untuk dijual oleh rakan tetapi dek kerana tak muat dipasang di kedai perabotnya maka saya pun memujuknya untuk dijual kepada saya. Aduh harganya yang begitu mahal akhirnya menjadi begitu murah kerana saya adalah kawan lamanya yang pandai memujuk rayu. Saya bayar pun ikut harga di Indonesia. Yang seronoknya setelah saya membeli pintu gebyok ini ramai yang tawarkan untuk membelinya dari rakan saya dengan harga asal.

Cantik tak gerobok atau peti beroda yang kawan-kawan lihat? Ini lah perabot paling lama usianya yang saya miliki. Perabot atau gerobok ini pembuatannya dilakukan sekitar tahun 1860 an. Kayu jati sepenuhya, warna gerobok ini telah terkikis oleh kerana terlalu lama. Bila diteliti ukirannya, ia dibuat pada zaman pemerintahan Belanda. Gerobok ini dibeli sejak tahun 2001 lagi dan warnanya semakin lama semakin cantik. Latar peti ini adalah dinding gebyok yang pintunya saya pasang di luar rumah. Bagi mengindahkan suasana dan menghidupkan ruang, saya meletakkan sepasang guci antik dari cina berwarna biru putih. Cangkirnya juga unik diperbuat dengan kehalusan sentuhan tangan yang begitu teliti. Menurut rakan penjual, ini lah satu-satunya gerobok antik yang diperolehinya dan meminta saya menyimpannya dengan baik kerana harga di pasaran sekarang 8 kali ganda berbanding dengan harga yang dia jual. Malah, tambahnya peti gerobok ini sukar sekali dicari di tempat asalnya kerana ia menjadi rebutan pelancong-pelancong barat dan pengumpul barang antik Amerika Syarikat dan Eropah.
Alhamdulillah rumah impian pun dah siap, tak besar mana pun tapi tak apa. Orang kata rumah adalah syurga kita dan kita yang tentukan apa yang ada di dalamnya sepertimana yang saya katakan indah di mata kita tak semestinya indah di mata orang lain. Apa yang penting kita tahu apa yang kita mahu.



0 Comments:

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds